Minggu ketiga program Famili Duo 4 menyaksikan persaingan sengit antara pasangan-pasangan yang terus berusaha keras untuk mengekalkan kedudukan mereka di pentas. Antara yang menarik perhatian ialah pasangan Naqiu dan Joey, yang kali ini terpaksa menerima hakikat jatuh ke tangga kedua terakhir.
Meskipun mempersembahkan medley lagu Angguk-Angguk, Geleng-Geleng oleh Ahli Fiqir dan Amboi oleh Altimet dengan penuh semangat, mereka masih gagal menandingi kekuatan duo lain yang tampil dengan lebih bersemangat dan mantap.
Walaupun mereka mendapat pujian atas peningkatan persembahan mereka dari minggu ke minggu, namun seperti yang ditegaskan oleh Datuk Rosyam Nor, mereka perlu berusaha lebih keras lagi untuk bersaing dengan peserta lain yang semakin mantap. Mas Idayu turut memuji vokal Joey dan Naqiu yang berjaya memikat hati pendengar, namun memberikan teguran mengenai kekurangan tenaga dalam persembahan mereka. Markah 6 daripada kedua-dua juri menunjukkan bahawa mereka masih mempunyai potensi besar yang perlu digali sepenuhnya.
Joey, yang kembali ke pentas selepas hampir 25 tahun tidak menyanyi, menyatakan rasa syukur dan semangatnya dalam perjalanan muziknya. “Famili Duo memberi saya peluang untuk kembali berdiri di pentas dan mencabar diri. Pada usia sebegini, saya masih boleh rap, bawakan irama Malaysia, dan melihat peningkatan setiap minggu sangat memuaskan. Program ini bukan sekadar soal vokal, saya di sini untuk memanfaatkan kekuatan lain dan buktikan bahawa usia bukan penghalang untuk berkarya,” katanya dengan penuh semangat.
Naqiu juga menzahirkan penghargaan terhadap ketekunan Joey yang tidak pernah berputus asa walaupun cabaran yang dihadapi semakin sengit setiap minggu. “Abang Joey, yang sudah lama tidak menyanyi, tampil di pentas Famili Duo dengan keberanian luar biasa, bahkan membuat rap. Itu sangat menyentuh hati saya,” jelasnya.
Namun, cabaran terbesar bagi mereka ialah untuk terus meningkatkan diri dan membuktikan bahawa mereka mampu bersinar, terutama dalam minggu bertema Idola/Legenda, yang dijangka akan memberi peluang kepada mereka untuk tampil lebih cemerlang.
Pada minggu yang sama, pasangan sepupu Tomok dan Sharul Kamal berjaya meraih kemenangan dengan persembahan penuh bertenaga mereka membawakan lagu Da Bomb dari Ruffedge dan Pop Yeh Yeh dari VE. Dengan elemen hip hop yang diinspirasikan dari gaya luar negara, mereka mendapat sambutan luar biasa daripada juri dan penonton, termasuk standing ovation dan markah sempurna 10 daripada juri. Datuk Rosyam Nor turut memuji kreativiti mereka dalam berinteraksi dengan penonton, yang menjadikan persembahan mereka seolah-olah berada di malam final.
Pasangan Ayie Elham dan Salma Asis turut mendapat perhatian dengan persembahan luar biasa mereka yang menggabungkan dua lagu, Niskala Suaka dari K.O.I dan Sedih Hati oleh Malique dalam satu mashup yang penuh emosi. Persembahan mereka turut menyentuh hati penonton dan juri, termasuk standing ovation dan markah sempurna 10 dari Mas Idayu, yang memuji keberanian mereka dalam meluahkan perasaan melalui muzik.
Seiring dengan persaingan yang semakin sengit, berikut adalah kedudukan pasangan pada minggu ketiga Famili Duo:
- Tomok & Sharul Kamal – 71.23%
- Ayie Elham & Salma Asis – 69.56%
- Shiha Zikir & Ieda Zikir – 55.3%
- Didi Astillah & Thamiera – 51.34%
- Naqiu & Joey – 47.94%
- Zahid & Anne – 43.54%
Persaingan semakin sengit apabila para peserta saling merebut gelaran juara mingguan serta memperbaiki kedudukan dalam carta. Dapatkah enam pasangan duo ini menghadirkan persembahan lebih hebat pada minggu bertema Idola/Legenda? Berikut adalah kedudukan markah terkumpul selepas episod 3 pada 3 November 2024:
- Tomok & Sharul Kamal – 198.03
- Ayie Elham & Salma Asis – 186.75
- Naqiu & Joey – 169.04
- Shiha Zikir & Ieda Zikir – 164.2
- Didi Astillah & Thamiera – 128.64
- Zahid & Anne – 126.44
Famili Duo akan berehat minggu ini bagi memberi laluan kepada acara istimewa TikTok Shop 11.11 Mega Live Stream. Rancangan ini merupakan gabungan beli-belah, kandungan kreatif, dan cabaran bersama peminat di Stadium Malawati. Saksikan eksklusif di TV3 atau TikTok rasmi TikTok Malaysia pada 10 November 2024 jam 9.00 malam.
Famili Duo musim ke-4 dibawakan oleh Perfume Paradise sebagai penaja utama dan Marigold HL sebagai rakan penaja, dengan sokongan daripada OhBulan! dan XTRA sebagai Famili Digital. Pastinya, minggu hadapan akan lebih menarik dengan penglibatan undian penonton. Pengguna boleh menggunakan kod promosi FAMILIDUO2024 untuk undian tambahan bagi duo kegemaran mereka. Pelanggan TontonUp pula layak menerima undian tambahan setiap minggu serta peluang memenangi hadiah mingguan Samsung Smart TV 65’.
Saksikan terus persaingan ini dan beri sokongan padu kepada pasangan kegemaran anda! Ikuti @TV3Malaysia di Facebook, Instagram, dan Twitter, serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial untuk maklumat lebih lanjut.