Sempena ulang tahun ke-41 TV3, program penyiasatan ikonik 999 tampil dengan episod khas bertajuk Pemburu Pedo yang bakal ditayangkan pada 25 Jun 2025, jam 8.00 malam. Episod ini menyelongkar sisi gelap pedofilia digital di Malaysia, dengan pendedahan eksklusif mengenai jenayah seksual kanak-kanak dalam talian serta modus operandi licik pelaku yang bersembunyi di sebalik identiti maya.
Sebagai pembuka mata, 999 menyorot beberapa kes berprofil tinggi yang pernah menggemparkan negara. Antaranya termasuk kes Amirul Arif Mohd Yunos, rakyat Malaysia yang ditahan di UK pada 2024 atas kesalahan memiliki dan menyebarkan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak. Turut dibongkar, kes Richard Huckle pada 2016, penjenayah pedofilia dari Britain yang mengaku menyerang lebih 200 kanak-kanak, termasuk 23 mangsa di Kuala Lumpur. Tahun ini pula, masyarakat digemparkan dengan penularan kumpulan Facebook bernama ‘Grup Budak Sekolah’ yang menyebarkan imej tidak senonoh pelajar sekolah rendah, didedahkan oleh pengguna media sosial dikenali sebagai Mek Yun.
Bagi membanteras ancaman ini, Unit D11 Bukit Aman melaksanakan Operasi Cyber Guardian dari 24 Februari hingga 28 Mac 2025 di Selangor dan Pulau Pinang. Operasi ini membawa kepada penahanan empat individu termasuk seorang penjawat awam serta rampasan lebih 50,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM). Kesemua suspek telah didakwa di mahkamah, mencerminkan ketegasan pihak berkuasa dalam menentang jenayah keji ini.
Episod ini turut menyerlahkan peranan penting pasukan khas D11, dengan tindakan pantas, kepakaran dan dedikasi mereka menjadi tunjang dalam usaha memburu pelaku jenayah seksual terhadap kanak-kanak di ruang digital.
Sebagai penutup, 999 menggesa masyarakat agar lebih cakna dan berani melaporkan sebarang bentuk eksploitasi seksual kanak-kanak. Orang ramai disarankan untuk tampil membuat laporan segera di balai polis sekiranya mengesyaki aktiviti mencurigakan.
Jangan lepaskan episod khas 999 Pemburu Pedo pada 25 Jun 2025, jam 8.00 malam di TV3 satu pendedahan yang wajib ditonton demi melindungi masa depan anak-anak kita. – Tehtariktimes