Shah Alam, 3 Julai 2025 – Debaran makin terasa! Cat Fashion Week, rancangan realiti pertama di Malaysia yang meraikan kecomelan dan karisma si bulus, kini memasuki fasa akhir dengan pengumuman rasmi Top 8 finalis menerusi segmen khas dalam program NONA, Ahad lalu.
Daripada ratusan penyertaan, hanya 20 ‘meow-del’ layak ke pusingan pre-judging, dan kini hanya lapan yang berjaya menawan hati juri. Antara aspek utama penilaian termasuk gaya busana, keyakinan kucing serta keserasian dengan pemilik. Menurut juri Yuen Wai, “Kalau kucing cantik tapi tak yakin, tak jadi. Kita nak keseimbangan gaya dan chemistry.”
Barisan Top 8 finalis terdiri daripada Nurul Izzah & Omey (jantan, baka Siberian), Nurul Awwal & Chibu (jantan, Domestic Long Hair), Nurmayani & Kristoff (jantan, Ragdoll), Siti Rohani & Goyem (jantan, Domestic Long Hair), Farahin Zakaria & Junny (betina, Persian), Zakry Shazryl & Winter Notty (jantan, Munchkin), Anis Halyatie & Evian Evan (jantan, Ragdoll), dan Siti Khadijah & Mocha (betina, Domestic Long Hair).
Mocha, si betina manja tetapi garang di luar rumah, turut mencuri tumpuan dalam episod NONA lalu. Menurut pemiliknya, Siti Khadijah, penyertaan ini sekadar suka-suka tetapi kini menjadi pengalaman berharga antara mereka berdua.
Peminat boleh ikuti kisah setiap finalis menerusi segmen khas Cat Fashion Week dalam NONA setiap Ahad, jam 2 petang di TV3. Bermula 27 Julai, kapsul eksklusif selama tiga minggu turut disiarkan setiap Ahad jam 7.50 malam, memaparkan cabaran dan persiapan menuju malam kemuncak.
Finale Cat Fashion Week dijadual berlangsung pada Ahad, 17 Ogos 2025, jam 9 malam, dengan hadiah utama wang tunai RM5,000 serta tiga anugerah khas: Felix, Si Bijak dan Si Lincah meraikan gaya, kecerdikan dan kelincahan si bulus terhebat negara!
Cat Fashion Week dibawakan oleh penaja utama Felix, bersama rakan media rasmi Hot FM dan SAYS. Siapa akan dinobatkan sebagai juara runway kucing pertama negara? Saksikan hanya di TV3 “Meow Menyala, Gaya Membara! Untuk perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia – Tehtariktimes