Selepas menutup tirai Tur SAMA SAMA di Bogor pada 24 Mei lalu, Tulus mengotakan janjinya kepada para peminat apabila mengumumkan bahawa destinasi seterusnya untuk siri jelajah ini akan berlangsung di Malaysia. Kata Tulus ketika itu, “Khabar baiknya adalah kami akan melanjutkan perjalanan. Kita bakal pergi ke Malaysia.” Kini, janji itu menjadi nyata apabila Idea Live Arena, Kuala Lumpur bakal menjadi lokasi kelima penganjuran Tur SAMA SAMA pada 5 Disember 2025, bermula jam 7.30 malam.
Tur istimewa ini akan menampilkan lima pemuzik hebat yang tidak asing lagi dalam dunia muzik Nusantara Tulus, Kunto Aji, Sal Priadi, Dere dan Idgitaf. Gabungan lima figura ini dijangka menghadirkan satu malam penuh magis dan kolaborasi yang langka, di mana mereka bukan sahaja mempersembahkan lagu-lagu popular masing-masing, tetapi juga berduet, bertukar lagu dan mempersembahkan susunan muzik baharu eksklusif untuk konsert ini.
Penganjuran di Malaysia merupakan hasil kerjasama antara PT Expo Indonesia Jaya (ExpoIndo), Tiga Dua Satu, dan Thrive Events, yang turut menganggap konsert ini sebagai satu impian besar yang akhirnya direalisasikan. Menurut Udzir Harris dari Thrive, “Pengumuman Tur SAMA SAMA di Idea Live Arena adalah mimpi besar yang akhirnya menjadi kenyataan setelah melihat sambutan luar biasa di Indonesia.”

Sementara itu, Bram Tulong dari ExpoIndo menambah bahawa konsert ini merupakan tanda penghargaan kepada peminat Malaysia yang tidak pernah putus memberikan sokongan. “Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf sedar akan apresiasi besar dari peminat di Malaysia. Kini mereka hadir membawa kolaborasi yang belum pernah dilihat sebelum ini,” katanya.
Tiket pra-jualan untuk Tur SAMA SAMA telah mula dijual sejak 29 September 2025 dan mendapat sambutan luar biasa. Bermula dengan harga RM228, terdapat 11 kategori tiket iaitu Bronze, Crystal, Silver, Diamond, Gold, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite. Tiket boleh dibeli melalui platform rasmi BBO Events dan samasamatur.com.
Menurut Sal Priadi, konsert ini menawarkan format persembahan yang unik dan dinamik. “Kami sangat tidak sabar untuk mempersembahkan sesuatu yang berbeza daripada solo ke duet, trio hingga kuintet. Format ini hanya boleh disaksikan secara eksklusif di Tur SAMA SAMA,” ujarnya.
Sebelum ini, siri jelajah Tur SAMA SAMA telah mencipta fenomena tersendiri di Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor, dengan setiap lokasi menerima sambutan yang luar biasa daripada peminat. Kini, giliran Kuala Lumpur pula menjadi saksi kolaborasi lima nama besar ini.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, peminat disarankan mengikuti laman media sosial rasmi @samasamatur dan @thriveevents_my.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Tur SAMA SAMA satu konsert epik yang mempertemukan lima suara terbaik Indonesia di satu pentas. Dapatkan tiket anda segera sebelum kehabisan!