5 Komposer Legend, 1 Pentas, Siapa Juara?

Astro bakal memperkenalkan program realiti nyanyian terbaharu ‘Raise The Star Malaysia’ bermula 22 Jun 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria dan turut boleh distrim melalui Astro GO serta sooka. Program ini membawa konsep unik apabila lima komposer popular tanah air Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatanna bukan sahaja menjadi juri tetap, tetapi juga bertanggungjawab memilih dan membimbing peserta untuk mempersembahkan lagu ciptaan asli mereka di pentas akhir.

Seramai 30 peserta yang terpilih menerusi dua peringkat uji bakat digital dan fizikal akan berentap selama 8 minggu secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam. Setiap minggu, mereka akan diuji dengan pelbagai tugasan seperti persembahan solo dan duet. Penjurian dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 80% markah daripada komposer dan 20% undian penonton.

Sistem khas ‘Slay Meter’ akan digunakan untuk menentukan kedudukan peserta, dan mereka yang memperoleh 5 Slay akan menerima ganjaran wang tunai daripada penaja. Peserta dengan markah terendah setiap minggu akan tersingkir.

Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad, program ini menjanjikan hiburan bertenaga serta menyasarkan untuk mencungkil dan melahirkan bintang muzik baharu tanah air. Raise The Star Malaysia ditaja oleh QSR Brands (KFC) dan UMobile, dan diharapkan mampu memberi nafas baharu dalam penghargaan terhadap karya seni dan penghasilan muzik tempatan. Untuk menonton, pelanggan boleh melanggan Pek Astro One dari RM49.99/sebulan atau menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbps bersama Pek Hiburan hanya RM139.99/sebulan. – Tehtariktimes