1.5 Juta Tontonan Dalam Masa 12 Jam – Ejen Ali Kembali Menggegarkan 22 Mei 2025

Penantian panjang para peminat Ejen Ali akhirnya berakhir dengan penuh kepuasan! Pelancaran treler sekuel Ejen Ali The Movie 2 semalam mencatatkan pencapaian luar biasa apabila berjaya meraih 1.5 juta tontonan dalam hanya 12 jam. Sambutan yang diterima di pelbagai platform digital membuktikan bahawa pengaruh Ejen Ali masih kukuh, dengan semangat peminat yang semakin membara menanti misi baharu yang lebih mendebarkan!

Sejak tayangan pertama Ejen Ali The Movie, para peminat setia telah menantikan dengan penuh harapan kelanjutan perjalanan hero kegemaran mereka. Kini, selepas sekian lama, Ejen Ali kembali dengan sut Satria, bersedia untuk menghadapi cabaran baru yang lebih kompleks. Treler yang berdurasi 2 minit 45 saat itu memperlihatkan peningkatan visual animasi yang memukau, serta petunjuk mengenai misteri dan halangan yang bakal ditempuhi oleh Ali.

Komen-komen positif daripada peminat di media sosial jelas menunjukkan betapa mereka teruja dengan kualiti animasi yang semakin memukau dan jalan cerita yang semakin matang. Ada yang berkata, “Tak sabar weh, serius! Aku umur 24 pun masih minat,” sementara yang lain turut meluahkan perasaan mereka, “Meremang bulu roma tengok trailer ni!” dan “Bangganya sebagai rakyat Malaysia, dapat saksikan kemajuan AniMY yang mampu menghasilkan animasi setaraf antarabangsa.”

Sekuel ini bukan sekadar sebuah sambungan kisah, tetapi juga sebuah simbol komitmen kepada karya animasi bertaraf dunia. Hasil kerjasama antara Primeworks Studios, WAU Animation, dan Komet Productions, Ejen Ali The Movie 2 dijangka bukan sahaja akan memecahkan rekod di panggung, malah turut menempatkan animasi tempatan di persada antarabangsa. Dengan peningkatan kualiti produksi dan jalan cerita yang lebih mendalam, filem ini akan menjadi karya wajib ditonton oleh semua golongan penonton.

Bersiap sedialah, peminat setia Ejen Ali! Misi diteruskan dengan cabaran baru yang lebih mengujakan! Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Ejen Ali The Movie 2 di layar besar nanti. Tonton Treler Rasmi #2 di YouTube (www.youtube.com/ejenali), TikTok (www.tiktok.com/@officialejenali), Facebook (www.facebook.com/ejenali), Instagram (www.instagram.com/ejen_ali), dan Twitter (www.twitter.com/ejen_ali). Jangan lupa untuk ikuti perkembangan terkini dengan hashtag #EjenAli, #EjenAliTheMovie2, #EATM2, dan #AniMY!