Setelah dua tahun menanti, Ziva Magnolya akhirnya mempersembahkan album keduanya yang berjudul Merangkai. Album ini menampilkan genre Pop RnB, sebuah genre yang sangat dekat di hati penyanyi berbakat ini. Di bawah label Universal Music Indonesia, Merangkai menjadi pencapaian besar Ziva yang sudah lama mengidamkan album bergenre ini.
“Album ini benar-benar mencerminkan diri saya. Sejak dulu saya ingin menghasilkan album Pop RnB kerana genre ini sangat saya sukai. Jadi, Merangkai ini adalah saya,” kata Ziva.
Mengusung tema cinta dari pelbagai perspektif, setiap lagu dalam album ini saling berkait dan bercerita dengan mendalam. Album ini mengandungi sembilan lagu, termasuk tiga single hit yang sudah lebih dahulu dilancarkan “Abadi,” “Wanita Biasa,” dan “Cukup” yang mendapat sambutan hangat di Indonesia.
Ziva turut bekerjasama dengan produser-produser terbaik tanah air seperti Dony Manurung, BIANCADIMAS, Laleilmanino, dan ramai lagi. Kolaborasi paling dinantikan adalah bersama Kaleb J dalam lagu “Against All The Odds,” yang menjadi impian peminat sejak 2021.
Selain muzik, Ziva turut tampilkan artwork eksklusif hasil sentuhan artis visual terkenal Diela Maharanie. Video muzik untuk lagu “Kata Kata” dan video lirik lagu-lagu baru pula menggabungkan elemen ‘seram manja’ dengan penampilan ‘hantu’ yang lucu dan menghiburkan. Kesemua visual ini diterbitkan oleh Athea Visual dan diarahkan Ivan Saputra Alam.
“Cerita video ini tentang cinta yang belum kesampaian dari perspektif orang yang ‘ghosting’. Harapan saya album ini dapat diterima ramai dan jadi teman harian pendengar,” tambah Ziva, yang juga digelar Queen of Riff and Runs. – Tehtariktimes