WINGS Terus Terbang: Konsert 40 Tahun Diteruskan Demi Maruah & Semangat Rock Malaysia

Kumpulan rock lagenda tanah air, WINGS, menegaskan bahawa Konsert Ulang Tahun Ke-40: WINGS 4 Dekad Terbang Tinggi akan tetap diteruskan seperti yang dirancang, walaupun dua ahli asal mereka, Black (dram) dan Eddie (bass), baru sahaja mengumumkan pengunduran diri secara rasmi.

Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM) yang juga merupakan penganjur konsert, acara mega ini akan berlangsung pada 28 November 2025 di Idea Live Arena, Damansara. Beliau menegaskan bahawa konsert tersebut akan menjadi simbol penghargaan terhadap empat dekad perjalanan seni WINGS, yang telah menjadi tunjang dan ikon muzik rock Malaysia sejak tahun 1985.

Dato’ Eddy turut menyampaikan ucapan penghargaan dan doa buat Abang Eddie dan Abang Black agar segala urusan mereka selepas ini dipermudahkan. Katanya lagi, segala persiapan konsert kini berjalan lancar dan peminat boleh menantikan sebuah persembahan penuh tenaga, nostalgia dan kehebatan muzik live yang menjadi identiti WINGS selama ini.

“Konsert ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar persembahan semata-mata, tetapi satu bentuk penghormatan kepada legasi WINGS yang telah menghiburkan jutaan peminat selama empat dekad. Kami mahu setiap penonton pulang dengan kenangan yang tidak akan dilupakan bersama lagu-lagu ikonik mereka,” jelas Dato’ Eddy.

Beliau turut menambah bahawa jualan tiket kini telah mencecah 90%, menandakan sambutan luar biasa daripada peminat tegar WINGS. Hanya 10% baki tiket terakhir masih tersedia untuk mereka yang belum mendapatkan peluang menyaksikan konsert bersejarah ini secara langsung.