WINGS 40 TAHUN: Legenda Rock Malaysia Kembali Gegar Idea Live Arena!

Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. (RPM) dengan bangganya mengumumkan penganjuran Konsert WINGS 40 Tahun: 4 Dekad Terbang Tinggi, yang bakal berlangsung pada 28 November 2025 di IDEA LIVE Arena, 3 Damansara. Konsert ini merupakan hadiah istimewa buat para peminat setia kumpulan rock lagenda tanah air, WINGS, sempena ulang tahun ke-40 mereka dalam industri muzik tempatan.

Menurut vokalis WINGS, Dato’ Awie, konsert kali ini bakal menampilkan sesuatu yang berbeza berbanding persembahan mereka sebelum ini, dengan konsep yang lebih segar dan pengalaman persembahan yang dijanjikan akan meninggalkan memori manis buat semua penonton. Butiran penuh mengenai konsep dan persembahan akan diumumkan dalam sidang media rasmi yang akan datang.

Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd., Dato’ Eddy Amir, turut berkongsi bahawa setiap pembeli tiket akan menerima barangan eksklusif sebagai door gift, bergantung pada kategori tiket masing-masing, menjadikannya sebagai kenangan istimewa buat para peminat yang hadir menyaksikan konsert bersejarah ini.

Pra-pendaftaran konsert telah dibuka pada 17 Julai 2025 dengan tawaran diskaun eksklusif 10% untuk 500 tempat pertama. Namun, sambutan luar biasa daripada peminat menyebabkan lebih 1,000 pendaftaran diterima hanya dalam tempoh dua jam, dan sehingga kini jumlah pendaftaran telah melebihi 2,000. Sebagai tanda penghargaan atas sokongan luar biasa peminat, RPM telah memutuskan untuk melanjutkan tawaran diskaun 10% kepada semua yang mendaftar sebelum 20 Julai 2025, jam 11.59 malam.

Pra-pendaftaran biasa tanpa diskaun akan dibuka dari 21 hingga 24 Julai 2025, dan mereka yang mendaftar lebih awal akan diberi keistimewaan untuk membeli tiket sebelum jualan umum bermula pada 25 Julai 2025, jam 11 pagi. Langkah ini memberi peluang kepada peminat untuk memilih tempat duduk pilihan mereka sebelum tiket dibuka kepada orang ramai.

Tiket untuk jualan umum pula akan mula dijual pada 30 Julai 2025 (Rabu), jam 11 pagi melalui platform rasmi rpm.uberticket.asia, dengan harga bermula serendah RM240. Pembeli juga boleh memilih untuk membuat bayaran ansuran dua kali menerusi platform Ubertickets, bagi memudahkan pembelian.

Konsert WINGS 40 Tahun ini bersifat eksklusif, dengan kapasiti terhad kepada hanya 4,444 tempat duduk sahaja dan tiada kategori berdiri, bagi memastikan keselesaan serta keselamatan semua penonton. Hanya individu berumur 12 tahun ke atas dibenarkan masuk ke lokasi konsert. RPM menjanjikan sebuah persembahan yang tidak akan dilupakan dengan gabungan pentas bertaraf antarabangsa, sistem bunyi dan pencahayaan berteknologi tinggi, serta hadiah-hadiah lucky draw eksklusif untuk para penonton bertuah.

Pihak penganjur turut menyeru semua peminat WINGS untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan detik bersejarah ini yang bakal mengimbau empat dekad perjalanan muzik kumpulan rock legenda Malaysia. Maklumat lanjut mengenai konsert, konsep penuh dan hadiah eksklusif akan diumumkan tidak lama lagi. Untuk kemas kini terkini, orang ramai boleh mengikuti akaun media sosial rasmi @rpmevents di Instagram, Facebook dan TikTok.