WE2025: Memacu Masa Depan Usahawan Wanita dengan Sokongan Korporat & Rakan Strategik

Persidangan Kepimpinan WE2025 bakal menghimpunkan barisan pemimpin global dan pakar industri terkemuka termasuk Atifete Jahjaga, Presiden Ke-4 Republik Kosovo; Retno L.P. Marsudi, mantan Menteri Luar Negeri Indonesia; Pem Zam, Ketua Pegawai Perdagangan Kerajaan Diraja Bhutan; serta Khairy Jamaluddin, mantan Menteri Kesihatan Malaysia. Sidang keusahawanan wanita terbesar di Malaysia ini menyasarkan penyertaan lebih 10,000 peserta dengan potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM100 juta.

WE2025: Future in Motion – Women in Trade. Leadership. Investment merupakan sebuah platform dinamik yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi wanita dan pertumbuhan inklusif. Acara ini diterajui oleh Qube Integrated Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Acara berprestij ini akan berlangsung dari 25 hingga 27 November 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Dalam majlis pengumuman rasmi, Berjaya Food Berhad diumumkan sebagai penaja korporat utama bagi WE2025. Turut diperkenalkan sebagai rakan strategik baharu ialah Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Polity dan Peniagawati. Kerjasama ini dijangka memperkukuh peranan acara ini dalam membangunkan ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) wanita serta menyumbang kepada ekonomi negara, memandangkan lebih 20% perniagaan di Malaysia kini dimiliki oleh wanita.

WE2025 menampilkan empat komponen utama merangkumi Pameran Perdagangan dan Pelaburan selama tiga hari dengan lebih 100 pempamer, Persidangan Kepimpinan yang menghimpunkan 1,000 delegasi tempatan dan antarabangsa, siri acara khas WE in Dialogue, serta sesi pemadanan perniagaan di bawah WE in Exchange. Kesemua komponen ini dirancang bagi membuka peluang kerjasama strategik, memperkukuh jaringan industri dan merangsang inovasi.

Pengarah Urusan Qube Integrated Malaysia, Jessie Tan, berkata WE2025 bakal menjadi acara penanda aras dalam bidang kepimpinan dan keusahawanan wanita di Malaysia. “Selain skala penganjurannya, penumpuan terhadap usaha mencipta peluang, menjalin kerjasama rentas sempadan dan industri serta menampilkan inovasi inklusif menjadikan WE2025 platform penting untuk membentuk masa depan perdagangan dan pelaburan negara,” ujarnya.

Berjaya Food Berhad turut menzahirkan komitmen terhadap pembangunan mampan dan keterangkuman dengan menyertai WE2025 sebagai penaja korporat. Syarikat tersebut telah lama memperjuangkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui inisiatif yang menyokong komuniti Pekak dan memperkasa wanita serta remaja perempuan daripada golongan B40. Penyertaan dalam WE2025 dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh usaha tersebut dan memberi inspirasi kepada lebih ramai pihak korporat untuk terlibat.

Antara rakan kerjasama strategik yang turut diumumkan ialah MITEC selaku rakan tapak acara, The MIND Academy, Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC), Intrinsic SEA, Yingke Malaysia, Invest Penang, serta Bernama. Acara ini turut dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), serta mendapat sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).

Pendaftaran kini dibuka kepada wakil perdagangan, organisasi, pempamer, peneraju industri serta pengunjung yang berminat untuk menyertai acara bersejarah ini. Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat melalui https://reg.we2025.com.my/registration-visitor/.