Universal Music Malaysia (UM) bersama Faithful Music terus membuktikan dominasinya dalam industri muzik tempatan apabila meraih 10 kemenangan pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat rakaman nombor satu negara. Antara kemenangan utama yang diraih termasuk Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik menerusi lagu Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda), Kulit Single/Album Terbaik (Iman – Irfan Ramos), Rakaman Lagu Terbaik (Aura – John Jeeves), Album Terbaik (Belagu II – terbitan Aubrey Suwito/edaran UM) serta Lagu Paling Tinggi Distrim (Masing-Masing – Ernie Zakri & Ade Govinda).
Lebih istimewa, album Belagu II nyanyian Dayang Nurfaizah turut menerima Dana Kandungan Digital (DKK) bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures. AIM24 juga menobatkan Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dengan Anugerah Sri Wirama sebagai penghargaan tertinggi atas sumbangan beliau selama 30 tahun dalam industri muzik.
Pengarah Urusan UM, Kim Lim menegaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil dedikasi dan komitmen syarikat dalam membangunkan bakat tempatan ke peringkat antarabangsa. Sementara itu, Ernie Zakri yang membawa pulang dua trofi turut berkongsi rasa syukur dan menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti muzik Malaysia mampu menembusi pasaran serantau dengan sokongan peminat serta kerjasama kreatif.

AIM24 turut dimeriahkan dengan persembahan memukau barisan artis UM termasuk DOLLA bersama Tobii (Def Jam Thailand), kolaborasi Ernie Zakri dan Anggi Marito (Universal Music Indonesia), serta persembahan emosional Ernie bersama Ade Govinda (MyMusic Records).
Dalam masa sama, Faizal Tahir terus unggul apabila memenangi empat kategori termasuk Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik (Campak Bintang bersama Datuk M. Nasir), Lagu Nasyid Terbaik (Biar Satu Dunia Tahu bersama Mirwana), Lagu Perpaduan Terbaik (Bendera), serta Lagu Dengan Hasilan Video Tertinggi di TikTok (Santai). Menurut Faizal, muzik adalah medium menyampaikan mesej bermanfaat dan kejayaan ini diharap dapat menjadi inspirasi buat generasi baharu pencipta muzik tempatan.
Lebih bermakna, AIM24 turut menjadi platform bersejarah bagi nama-nama baharu seperti Hanis Rafi, Iqie Hugh, Glowrush, Fahimi dan Firdaus Rahmat yang buat pertama kali diraikan di pentas berprestij tersebut.