Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah, Platform Terbaik Cungkil Potensi Murid

Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah bersama SAFI Shayla terus menjadi program yang dinanti-nantikan murid di seluruh negara. Pada 18 dan 27 Februari lalu, program ini telah menjelajah ke SMK Convent (M) Kajang dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, membawa bersama selebriti popular serta pelbagai aktiviti menarik untuk lebih 1,000 murid yang menyertainya.

Kolaborasi antara TV3, Tonton, DIDIKTV KPM dan SAFI Shayla memastikan program ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga mempunyai nilai pendidikan yang tinggi. Murid-murid bukan sahaja mendapat peluang bertemu dengan selebriti, malah turut memperoleh motivasi dan inspirasi untuk lebih yakin serta berani menonjolkan diri.

Barisan selebriti terkenal yang menyertai program ini termasuk Malia Baby, Imran Aqil, Nabil Aqil, Aizat Saha, Muaz Zabir, Syahir Shafein, Anim Ezati, Zarif Ghazzi, Sharul Kamal, Fitri Farok, Hakimi Noordin, Shah Sulaiman (Tapau) dan Nisa Kay. Mereka berkongsi pengalaman serta memberi dorongan kepada murid-murid untuk terus berusaha mencapai impian masing-masing.

Selain itu, aktiviti-aktiviti interaktif seperti Cergas+, LED Q&A, Uji Bakat Drama, Uji Bakat Berita, Mix & Match dan Tic Tac Toe berjaya mencungkil keberanian dan kreativiti murid-murid. Mereka diberi peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing dalam suasana yang menyeronokkan dan penuh semangat.

Bagi mengiktiraf usaha mereka, anugerah khas seperti “Terpaling Sporting”, “Terpaling Heboh”, “Terpaling Drama”, “Terpaling Girl Power” dan “Rambut Hijab Terpaling Slay” diberikan kepada murid yang menunjukkan keistimewaan dalam setiap aktiviti. Semua peserta juga menerima sijil penghargaan, sementara pihak sekolah menerima plak penghargaan sebagai tanda penghormatan daripada pihak penganjur.

Salah satu aspek yang menarik perhatian ialah inisiatif “Sis Shay, Inspirasi Hijabi” oleh SAFI Shayla. Program ini memberi pendedahan kepada murid-murid hijabi tentang kepentingan menjaga rambut di sebalik hijab, sekali gus membantu mereka meningkatkan keyakinan diri. Penjagaan diri yang baik adalah kunci utama untuk tampil lebih yakin dan bersedia menghadapi cabaran harian.

Murid-murid yang menyertai program ini berkongsi pengalaman bahawa mereka kini lebih yakin dan bersedia untuk berbicara di hadapan orang ramai. Guru-guru pula menganggap program ini sebagai satu langkah positif dalam membentuk keyakinan serta personaliti murid secara lebih menyeluruh.

Menurut Puan Farah Shamsudin, Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi, Rangkaian Televisyen Media Prima, kejayaan program ini membuktikan betapa pentingnya pendekatan interaktif dalam membentuk keperibadian murid. “Kami berharap dapat meneruskan program ini ke lebih banyak sekolah dan memberi impak yang lebih besar kepada lebih ramai murid di seluruh negara,” katanya.

Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah bersama SAFI Shayla bukan sekadar program biasa, tetapi satu inisiatif yang mampu membawa perubahan positif kepada generasi muda. Dengan sokongan pelbagai pihak, program ini dijangka akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai murid di masa akan datang.