TMT Lancar Starlink Mini & Experience Store Pertama di Malaysia

Thunder Match Technology Sdn. Bhd. (TMT), rangkaian runcit teknologi terbesar di Malaysia, secara rasmi memperkenalkan Starlink Mini, peranti internet satelit mudah alih terbaru keluaran SpaceX. Pelancaran ini menandakan komitmen TMT sebagai rakan kongsi sah Starlink untuk menjadikan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar dan lokasi yang kurang mendapat liputan. Langkah ini sekali gus mengukuhkan peranan TMT sebagai peruncit rasmi Starlink, seiring dengan misi syarikat untuk merapatkan jurang digital dan memperkasakan komuniti dengan teknologi pintar.

Starlink Mini direka khas dalam bentuk kompak yang mudah dibawa, dengan pemasangan ringkas serta mampu memberikan sambungan internet berkelajuan tinggi dan kependaman rendah. Ia sesuai digunakan bagi pelbagai tujuan termasuk kerja jarak jauh, melancong, aktiviti luar, atau di kawasan yang masih belum diliputi jalur lebar tradisional. Kini, pelanggan berpeluang mencuba sendiri Starlink Mini di Starlink Experience Store pertama TMT yang terletak di PJ Damansara Uptown, Kuala Lumpur.

Teknologi Starlink menggunakan rangkaian satelit orbit rendah bumi (LEO) untuk memastikan sambungan internet pantas dan stabil, walaupun di kawasan terpencil. Inovasi ini dilihat mampu membuka lebih banyak peluang baharu kepada masyarakat sama ada dalam bidang pendidikan, perniagaan mahupun peningkatan gaya hidup digital rakyat Malaysia.

Menurut kenyataan pihak pengurusan TMT, kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan syarikat untuk menyampaikan penyelesaian teknologi yang benar-benar memberi impak kepada rakyat. Teknologi satelit Starlink dianggap sebagai solusi baharu untuk mengatasi cabaran sambungan internet di kawasan luar bandar, selain memberi peluang kepada individu dan perniagaan untuk meningkatkan kualiti hidup, memperkukuh capaian pendidikan, serta mengakses peluang baharu dalam ekonomi digital.

Ditubuhkan pada tahun 1997, TMT kini muncul sebagai peruncit teknologi terbesar di Malaysia dengan lebih 50 cawangan di seluruh negara selain platform e-dagang. Syarikat ini menawarkan pelbagai produk termasuk peranti mudah alih, komputer peribadi, komputer riba, pencetak, perisian, aksesori serta khidmat servis komputer. Pada Julai 2023, TMT telah diambil alih oleh Nojima APAC Limited, sekali gus memperkukuh kedudukan pasaran serta meningkatkan pengalaman runcit syarikat. Maklumat lanjut mengenai TMT boleh didapati di laman web rasmi www.tmt.my.