The Lantis Gegar Debut Antarabangsa di Jiwa Kacau KL!

Buat pertama kalinya menjejakkan kaki di Malaysia, band retro-pop dari Jakarta Selatan, The Lantis, tampil memukau di pentas Konsert Jiwa Kacau yang berlangsung baru-baru ini. Penampilan ini menandakan debut antarabangsa rasmi mereka, sekaligus membuka langkah ke pasaran muzik Malaysia.

Tiga anggota kumpulan ini Giri (vokalis), Ravi (gitaris) dan Ojan (gitaris) turut berkongsi pentas dengan barisan artis popular dari Malaysia dan Indonesia seperti Wali, Kerispatih, Hujan, Bunkface dan Spider. Meskipun baru pertama kali muncul di Malaysia, The Lantis berjaya mencuri perhatian menerusi persembahan bertenaga dan interaksi hangat bersama peminat.

Antara lagu yang dibawakan termasuk “Bunga Maaf”, “Ambang Rindu” dan “Lampu Merah” yang disambut sorakan gemuruh serta nyanyian bersama oleh para penonton. Menariknya, “Bunga Maaf” lagu yang dilancarkan pada November 2024 masih bertahan dalam carta Top Songs Malaysia, kini berada di tangga ke-46.

“Kami rasa seperti mimpi. Ini kali pertama kami tampil di luar Indonesia, dan sambutan hangat dari peminat Malaysia benar-benar menyentuh hati kami,” ujar mereka.

Ditubuhkan pada tahun 2020, The Lantis mula mencipta nama menerusi lagu “Lampu Merah” yang viral dengan lebih 96 juta streams. Mereka terus mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik Indonesia dengan lagu “Bunga Maaf” yang kini mencecah lebih 161 juta streams.

Selain aktif di pentas konsert, The Lantis turut terlibat dalam projek Musikal Keluarga Cemara 2025, menyumbangkan lagu “Seperti Cemara” yang dimuatkan dalam album kompilasi Lagu-Lagu Cemara (2025) yang dilancarkan pada Jun lalu. – Tehtariktimes