Filem seram terbaharu berjudul Tembuni Berdarah tampil berbeza daripada karya seram tempatan lain apabila mengangkat isu pemakaian susuk dalam dunia estetika kecantikan, selain menyentuh perbezaan ideologi antara generasi lama dan baharu mengenai amalan syirik sebagai jalan pintas menuju kejayaan.
Diterbitkan oleh Lindo Production Sdn Bhd dan diarahkan oleh sutradara prolifik Dr Ahmad Idham, filem ini menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Sophia Albarakbah, Niezam Zaidi, Khatijah Tan, Shahirah Shahora, Riezman Khuzaimi dan Mia Nasir. Menurut Idham, meskipun beliau sudah menghasilkan pelbagai genre seram, permintaan penonton untuk melihat karyanya sebaris dengan filem popular terdahulu seperti Jangan Pandang Belakang dan Congkak masih tinggi.
“Tembuni Berdarah membawa aura seram yang sama seperti filem-filem terdahulu saya, namun kali ini strukturnya lebih segar dengan penekanan kepada perbezaan ideologi lama dan baharu. Ia dekat dengan realiti hari ini apabila ramai yang terjebak dengan dunia estetika kecantikan demi penampilan dan kelihatan awet muda,” jelas Idham pada Malam Gala dan Sidang Media Tembuni Berdarah di GSC MyTown Cheras.

Mengikut peredaran masa, Idham turut mengurangkan elemen drama melalui dialog panjang untuk memberi ruang kepada babak-babak kejutan yang lebih mendebarkan. Beliau menegaskan bahawa filem seram Melayu tidak dapat lari daripada elemen saka, berbeza dengan filem seram Indonesia yang lebih menonjolkan hantu seperti kuntilanak.
Komitmen barisan pelakon turut mendapat pujian Idham, khususnya Sophia Albarakbah yang diberi cabaran membawakan watak penuh emosi dan berani. Sophia tampil keluar daripada zon selesa dengan melakonkan adegan ekstrem, termasuk bermain dengan darah, beraksi di kawasan perkuburan pada waktu malam, serta menampilkan lakonan ‘kotor’ yang berbeza daripada imej biasanya. Tambahan pula, latar belakangnya sebagai pelajar perubatan memberi kelebihan untuk menjayakan adegan berkaitan jarum, peralatan perubatan dan interaksi realistik bersama pesakit.
Penggambaran filem ini dijalankan selama 20 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, termasuk ketika bulan Ramadan. Dengan naskhah penuh mendebarkan ini, Tembuni Berdarah dijangka menjadi tarikan besar apabila mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 25 September 2025.