Tak Balik Raya? Umairah Kongsi Pengalaman Raya Pertama Tanpa Keluarga

SN Legacy Sdn Bhd mengumumkan pelancaran single raya terbaharu daripada penyanyi muda, Umairah, yang berjudul “Tak Balik Raya”. Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula hari ini, memberikan peminat muzik tanah air sebuah karya yang penuh dengan emosi dan kegembiraan musim perayaan.

Lagu “Tak Balik Raya” menceritakan pengalaman seorang anak rantau yang terpaksa menyambut Hari Raya jauh daripada keluarga kerana komitmen kerja. Meski liriknya menyentuh perasaan rindu yang mendalam, melodi yang segar dan penuh keceriaan turut membawa elemen kegembiraan, mencipta keseimbangan yang menghiburkan hati.

Menurut Umairah, lagu ini mengangkat realiti yang sering dilalui oleh anak-anak rantau ketika menjelang musim perayaan. “Lagu ini menggambarkan perasaan yang sebenar dialami oleh banyak orang. Walaupun perasaan rindu itu mendalam, kemajuan teknologi masa kini membolehkan kita berhubung dengan keluarga melalui telefon dan media sosial. Jadi, walaupun berjauhan, kita masih dapat merasakan kehadiran mereka,” kata Umairah.

Lagu ini, yang ditulis oleh Mas Dewangga dan Jova Devito, berjaya memikat hati Umairah sejak pertama kali mendengarnya. “Saya jatuh cinta pandang pertama dengan demo lagu ini. Ia sangat sesuai dengan perasaan dan usia saya sebagai remaja. Muziknya membawa emosi yang kuat dan saya tidak perlu menunggu lama untuk bersetuju merakamkan lagu ini,” ujar Umairah.

Lagu ini juga telah mencuri perhatian ramai sejak teaser atau petikan awalnya dimuat naik di media sosial. “Saya sangat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh warganet, terutama kerana saya masih artis baharu dalam industri muzik. Komen positif ini memberikan saya semangat untuk terus berkarya,” tambah Umairah, yang baru-baru ini dinobatkan sebagai juara kategori vokal (junior) di World Championships Of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Tak Balik Raya” turut disusuli dengan pelancaran video muzik yang akan disiarkan di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia pada 7 Mac 2025, jam 9 malam. Video muzik ini diarahkan oleh Rifaiee Rio dan diterbitkan oleh Rio Films. Dalam video muzik ini, Umairah turut menampilkan penari pengiring yang terdiri daripada rakan-rakan beliau di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur. “Saya mahu memberi peluang kepada rakan-rakan saya yang berbakat dalam bidang tari untuk turut serta dalam projek ini,” kata Umairah.

Universal Music Sdn. Bhd., yang bertindak sebagai pengedar rasmi, juga memberikan sokongan penuh untuk mempromosikan lagu ini terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan Syawal. Lagu ini dijangka akan menghangatkan lagi sambutan Hari Raya dengan sentuhan moden dan emosi yang mendalam.

Dengan pelancaran “Tak Balik Raya”, Umairah berharap agar lagu ini dapat memberikan sedikit keceriaan dan mengingatkan semua orang akan keindahan hubungan meskipun berjauhan. Lagu ini bukan sahaja mencerminkan semangat Raya, tetapi juga menunjukkan betapa teknologi membantu kita menjaga ikatan kasih sayang dalam dunia yang serba moden ini.