SWEET CHARITY KEMBALI KE IBU KOTA SELEPAS KALI TERAKHIR MUNCUL DALAM SEBUAH KONSERT, HAMPIR 13 TAHUN YANG LALU.

Melangkaui lima dekad pembabitannya dalam dunia muzik rantau ini, band legenda, Sweet Charity bakal kembali ke ibu kota, mengimbau nostalgia selepas kali terakhir muncul dalam sebuah konsert, 13 tahun lalu.

Dianjurkan oleh Malaysia Shipowner’s Association, Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity yang berdurasi hampir tiga jam itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 26 Januari depan.

Iaitu, di tahun ke-55 penubuhan Sweet Charity yang diterajui Datuk Ramli Sarip sebagai vokalis yang juga pengasasnya bersama Rahman Sarbani (dram), dan turut dianggotai Rosli Mohalim (gitar) dan Ahmad Jaafar (keyboard dan vokalis kedua).

Ramli berkata, lamaran untuk Sweet Charity kembali ke Kuala Lumpur ibarat pucuk dicita ulam mendatang.

“Konsert ini ada nilai sentimental kerana ia diadakan di Kuala Lumpur selepas kali terakhir kami beraksi di Stadium Merdeka pada 2011 yang menjadi fenomena. Sesuatu seperti ini kadang hanya datang sekali, atau dua kali, ia tidak boleh selalu melainkan ada momen istimewa.

“Sweet Charity dikenali dengan persembahan livenya, jadi pemilihan lagu yang tepat adalah penting. Selain bernostalgia, jangkakan sebuah persembahan yang segar kerana kami memiliki lagu-lagu yang boleh diolah, dibuat susunan baharu, termasuk antara 15 lagu dalam senarai all-time favourite seperti Batu, Kamelia, Teratai dan Zakiah.
“Dan kenapa Semalam di Malaya? Judul yang nostalgia, zaman kami di Singapura, merentasi Johor menaiki bas, tanpa perlu pasport sebelum ada pemisahan negara. Banyak kenangan di situ,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Biar pun tidak kembali ke stadium, menurut Ramli, Zepp Kuala Lumpur dengan kapasiti 2,500 orang itu berupaya memenuhi jangkaan persembahan kerana lokasi itu ada formula untuk mendukung sesebuah konsert, daripada suasana ke akustiknya, malah chemistry.

“Penganjur ini, saya lihat, mahu buat sesuatu yang mereka lalui, ketika mereka membesar, namun memberi kebebasan untuk kami mengekspresikan seni. Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity ini sememangnya tidak harus dilepaskan peminat.

“Kerana Sweet Charity, persembahannya ada roh dan semangat yang tersendiri, seperti mana-mana band apabila sampai pada kedewasaannya. Mudah-mudahan persembahan kami lebih dewasa dengan perasaaan,” tambahnya.

Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity merupakan sebuah produksi Rasa Karya, bersama Mewah Event Management sebagai rakan strategik, manakala ilassotickets bagi pengurusan tiket.

“Sama tapi tak sama,” kata Ramli, merujuk perbandingan dengan konsert di Singapura, baru ini. “Persembahan di Kuala Lumpur kali ini lebih padat, malah ada peminat yang sudah menonton di Singapura, mahu ke Kuala Lumpur juga.

“Gaya persembahan, tentunya akan memberikan kelainan kerana Sweet Charity ada aura tersendiri, kekuatan tersendiri. Orang sukakan Sweet Charity kerana persembahan livenya dan itulah yang menjadi kekuatan kami selama lebih 50 tahun ini.

“Sweet Charity tidak begitu dipengaruhi oleh apa-apa kerana pada masa itu, pada era akhir 60an, tiada video, VHS pun tiada. Jadi kami mencipta identiti sendiri, membawa muzik rock, memberikan apa yang kami rasa, perasaan waktu membuat persembahan itu.”

Bagi apa jua yang dirancang, kata Ramli lagi, apa yang diharapkan tentulah kesihatan yang baik buat semua anggota Sweet Charity walaupun pada sebahagian masa, mereka perlu akur dengan cabaran dalam perjalanan.

“Bukan saja dalam muzik atau persembahan, tapi juga perjuangan untuk dikongsi sama. Jika boleh jangan ada banyak pertelingkahan antara satu sama lain, mesti bersatu, tapi kalau terjadi juga kadang hal sebegini mengajar kita. Itu yang membuatkan kita terus ada,” katanya.

MENGENAI MALAYSIA SHIPOWNERS’ ASSCOCIATION (MASA)
Malaysia Shipowners’ Association atau MASA ditubuhkan pada 1976 dengan objektif untuk melindungi dan mempromosi kepentingan pemilik-pemilik kapal Malaysia, juga sebagai peneraju dalam memperkasa Industri Perkapalan Malaysia yang berdaya maju bagi menyokong aspirasi kebangsaan untuk menjadi negara maritim utama di persada dunia.

Dengan moto “Towards Maritime Excellence”, misi MASA adalah untuk membantu dalam pembangunan Industri Maritim Malaysia, selain berkolaborasi dalam usaha pembaikan standard maritim secara berterusan demi faedah bersama selain melindungi dan mempromosi kepentingan ahli.

MASA yang mewakili industri perkapalan mengekalkan hubungan akrab dengan agensi kerajaan yang berkenaan seperti Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT). Selain itu, MASA turut menjadi Ahli tetap dalam beberapa badan Kerajaan antaranya Lembaga Pelesenan Perkapalan Dalam Negeri (LPPDN), Lembaga Dius Api, Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) serta wakil industri beberapa Lembaga Pemaliman.

Di bawah kepimpinan Pengerusi, Mohamed Safwan Othman, MASA menerusi Inisiatif Strategik menyaksikan pelbagai usaha sedang dilakukan, antaranya pengukuhan Perkapalan Domestik di Sabah, Sarawak dan Labuan melalui polisi perkapalan domestiknya, pemanjangan pengecualian cukai pendapatan dan lain-lain.

Untuk Pengurusan, sila hubungi:
Presenter: Mohd Helmi Zaharudin, Pengurus Besar, MASA – 014 3309857
Konsert: Juria Banding, Pengurus, Rasa Karya Sdn Bhd – 013 2633938
Media: Aida Husin, Pengurus, Mewah Event Management – 012 2166873

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *