Dalam dunia muzik yang sering dipenuhi glamor dan kesempurnaan, hadirnya Valerayy membawa satu nafas baharu yang penuh kejujuran dan ketelusan emosi. Penyanyi dan penulis lagu baharu dari Malaysia ini memulakan langkah pertamanya ke dalam industri dengan single debut berjudul “Castles and Carriages”, sebuah karya menyentuh hati yang dilancarkan pada 25 Julai 2025.
Valerayy, yang nama sebenarnya Rachel V. Anthony, tampil dengan suara lembut dan lirik yang bersahaja namun mendalam. Lagu sulungnya bukan sekadar karya muzik, tetapi helaian emosi yang diangkat terus dari ruang peribadi jiwanya. “Kadang-kadang rasa sunyi itu terlalu kuat… tapi akhirnya saya belajar bahawa rasa itu bukan kelemahan. Ia sebahagian daripada diri kita,” ujar Valerayy dalam nada penuh keikhlasan.
“Castles and Carriages” mengangkat tema dongeng dan realiti dalam satu naratif yang kontras. Di sebalik tajuk yang membawa imej istana dan kereta kuda, terselit kisah patah hati dan pergelutan jiwa. Valerayy menjelaskan, “Saya mahu cabar persepsi klasik tentang cinta sempurna. Ramai percaya pada pengakhiran bahagia, tapi realitinya tidak seindah cerita puteri.”
Lagu ini merupakan sebahagian daripada EP pertamanya yang berjudul “Castles”, yang terhasil dalam tempoh sebulan selepas lonjakan inspirasi bersama A&R dan penerbit eksekutifnya, Hayze. Setelah hampir setahun mengalami kebuntuan dalam penulisan, Valerayy menemui semula kekuatan untuk menulis – bukan untuk memuaskan sesiapa, tetapi untuk menyembuhkan dirinya sendiri.

EP ini bukan hanya tentang dirinya – ia adalah ruang emosi terbuka yang mahu dikongsi bersama pendengar. “Saya bayangkan setiap lagu dalam EP ini seperti babak sleepover di mana kita boleh menangis, berpeluk dan menyokong antara satu sama lain. Kita semua ada kisah sendiri, tapi kita tak perlu lalui semuanya seorang diri.”
Sebagai suara baharu dalam industri, Valerayy hadir dengan kejujuran yang jarang dilihat. “Castles and Carriages” bukan sekadar permulaan karier, tetapi juga simbol kekuatan dalam kerentanan. Ia menandakan kelahiran seorang artis yang berani menyuarakan rasa sakit, kehilangan dan harapan dengan cara paling tulus.
Lagu “Castles and Carriages” kini boleh distrim di semua platform digital utama mulai 25 Julai 2025. Dengan permulaan yang begitu peribadi dan kuat, Valerayy dilihat sebagai antara bintang muda yang bakal menyerlah dengan warna suara dan kisahnya yang tersendiri. – Tehtariktimes