Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meneruskan komitmennya memperkasakan usahawan tempatan menerusi pelancaran Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025, yang menyasarkan hasil jualan sebanyak RM5 juta melalui platform digital MyMall.
Kempen ini berlangsung dari 1 Mac hingga 30 April 2025 dan merupakan kesinambungan daripada kejayaan edisi terdahulu yang mencatatkan RM2.5 juta jualan pada tahun 2024. Kali ini, kempen turut melibatkan penyertaan produk-produk keluaran artis tempatan seperti sambal dan pakaian, serta jenama terkenal antaranya Kasurysh, Lima Waktu, Elrah Exclusive, Primavalet, The Makan Shoppe, Beubon, Shasya Habib dan Aris Burger.
Majlis peluncuran rasmi kempen telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick di Dewan ODEON, Kuala Lumpur, lokasi milik UDA Holdings agensi di bawah KUSKOP. Beliau menyatakan bahawa inisiatif ini bertujuan meningkatkan sokongan pengguna terhadap produk tempatan, sekali gus memperkukuh jenama usahawan Malaysia di pasaran digital.

“Platform MyMall bukan sahaja memudahkan pembelian barangan Ramadan dan persiapan Hari Raya, malah memberi peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk secara dalam talian,” kata beliau. Usahawan yang berminat boleh mendaftar perniagaan mereka di www.mymallmalaysia.my atau menghantar e-mel ke contact@mymallmalaysia.my.
Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah Top Sales bagi Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2024, Top Sales Year End Sales 2024, serta anugerah Rising Star Merchant, sebagai penghargaan kepada peniaga berprestasi cemerlang.
Kempen ini adalah antara usaha berterusan KUSKOP menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui pendigitalan perniagaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, daya cipta dan kesejahteraan masyarakat.