Single Sulung SAMSOL “BORAK” Tarik Perhatian dengan Lirik Jujur dan Melodi Catchy

Vokalis utama Bunkface, Sam, kini membuka lembaran baharu dalam kerjayanya dengan memperkenalkan identiti solo sebagai SAMSOL. Menerusi single sulung bertajuk “BORAK”, SAMSOL menyajikan sisi muzik yang lebih peribadi dan matang – namun tetap mengekalkan jiwa pop yang segar dan catchy.

Lagu “BORAK”, yang kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, membawa mesej yang cukup dekat di hati ramai. Ia menyentuh tentang pentingnya komunikasi jujur dalam sesebuah hubungan sama ada antara suami isteri mahupun pasangan kekasih. Dalam liriknya, SAMSOL menekankan bahawa walaupun perbualan nampak mudah dan ringkas, namun itulah asas kepada kebahagiaan dan kekuatan hubungan yang sebenar.

“Saya tulis ‘BORAK’ sebab saya rasa sangat penting untuk pasangan terus bercakap secara jujur dan terbuka,” ujar SAMSOL. “Kadang-kadang, borak yang paling simple pun boleh buat hubungan terus kuat.”

Menampilkan gaya vokal dan tenaga yang sudah sinonim dengan figura Sam dalam Bunkface, “BORAK” memberi ruang buat peminat melihat sisi SAMSOL yang lebih mendalam – penuh emosi dan reflektif. Lagu ini bukan sahaja meraikan keindahan komunikasi, tetapi juga mencerminkan fasa kehidupan dewasa yang dilalui dengan jujur dan tenang.

Perjalanan solo ini bukan bermakna SAMSOL meninggalkan legasi Bunkface, sebaliknya ia adalah satu evolusi artistik yang menandakan kematangan dalam muzik dan kehidupan. “BORAK” menjadi pembuka jalan kepada karya-karya solo lain yang dijangka lebih tulus, realistik dan dekat di hati pendengar.

Dengan langkah berani ini, SAMSOL membuktikan bahawa walaupun berseorangan di pentas baharu, suaranya tetap lantang menyampaikan cerita dan kali ini, cerita itu tentang cinta yang dilindungi oleh satu perkara paling asas: borak yang jujur.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengarkan “BORAK” di sini: https://samsol.lnk.to/BORAKTehtariktimes