Silent Teddies Diiktiraf Sebagai Model Perusahaan Sosial Negara – Ewon

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menegaskan Silent Teddies mampu menjadi contoh terbaik perusahaan sosial (SE) di Malaysia. Beliau berkata, inisiatif yang ditubuhkan untuk memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, tetapi turut melibatkan mereka dalam arus ekonomi negara.

Menurut Ewon, kejayaan Silent Teddies membuktikan bahawa perusahaan sosial boleh menjadi pemangkin integrasi golongan istimewa ke dalam pembangunan negara. “Saya berbangga melihat usaha yang memberi tumpuan kepada kumpulan sasar seperti ini kerana ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah mencetuskan rasa kebersamaan mereka sebagai sebahagian daripada ekonomi negara,” katanya semasa lawatan kerja ke Pusat Perkhidmatan Komuniti Orang Pekak Silent Teddies.

Silent Teddies kini memiliki sijil Halal dan menghasilkan pelbagai produk bakeri termasuk biskut serta tart nenas. Lebih 100 orang daripada kalangan OKU dan B40 telah menerima latihan kemahiran di pusat ini, sekali gus menjadikan ia platform yang berkesan dalam memperkasa golongan rentan.

Ewon menambah, pembangunan perusahaan sosial akan terus menjadi fokus kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan pelbagai insentif, akses pasaran serta latihan ditawarkan kepada pengusaha sosial.