Salam kepada semua ejen! Kami dengan bangganya mengumumkan bahawa transmisi baharu telah diterima hari ini! Primeworks Studios dan WAU Animation mempersembahkan tayangan khas bagi misi baharu, “Misi: First Look Ejen Ali the Movie 2 (EATM 2)”, yang ditayangkan buat pertama kalinya.
Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, sebagai sebahagian daripada Festival Kandungan Digital Malaysia 2024 (MYDCF) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KL Convention Centre). Tayangan khas Trailer teaser rasmi EATM 2 ini menampilkan aksi mendebarkan dan misteri yang penuh dengan tanda tanya, disertai dengan babak-babak sinematik yang menyentuh perasaan, sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
Setelah kejayaan besar filem pertama Ejen Ali The Movie (EATM) pada tahun 2019, kini sekuel keduanya, EATM 2, memperkenalkan Ejen Ali dalam peranan baru sebagai juruterbang Projek Satria, sebuah sut berperisai canggih dengan sokongan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang dicipta untuk memaksimalkan prestasi fizikal dan kemahiran mental ejen MATA dalam misi rahsia mereka. Sekuel dan tayangan khas yang dinanti-nantikan ini dijadualkan akan mengejutkan penonton di pawagam pada tahun 2025, dengan barisan pelakon suara utama yang sama seperti Ida Rahayu Yusoff sebagai Ejen Ali bersama kucing peliharaannya, Comot, Noorhayati Maslini Omar sebagai Ejen Alicia, Shafiq Isa sebagai Ejen Bakar, dan Azman Zulkiply sebagai Rizwan dan Jeneral Rama.
En. Usamah Zaid Yasin, Pengarah EATM 2 dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, menyatakan, “Kami amat teruja untuk mempersembahkan tayangan khas misi baharu Ejen Ali The Movie 2 di MYDCF hari ini. Di WAU, kami telah berusaha keras dalam penyelidikan dan pembangunan untuk tidak hanya memperbaiki kualiti teknikal filem ini tetapi juga untuk mencipta jalan cerita yang menarik bagi peminat yang menunggu misi seterusnya. Kami berharap filem ini akan mendapat sambutan yang baik dan kami tidak sabar untuk bertemu dengan semua ejen setia di pawagam.”
Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, menyatakan, “Ejen Ali The Movie 2 adalah antara filem yang paling dinantikan dalam perancangan kami, dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat serta MDEC atas sokongan mereka yang berterusan. Kami akan mendedahkan lebih banyak kandungan eksklusif mengenai Ejen Ali The Movie 2 di pelbagai platform Media Prima menjelang tayangannya. Saya ingin mengajak semua untuk meneroka peluang kerjasama sebagai rakan kongsi dalam penjenamaan, program pelesenan, dan pembarangan.”
Kepada semua ejen yang dihormati, pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk menonton tayangan khas dan bertemu dengan Ejen kegemaran anda di ruang pameran MYDCF Hall 4, KL Convention Center, yang dibawakan oleh Tonton dari 13 hingga 15 September 2024 (Jumaat hingga Ahad). Anda boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti kuiz Ejen Ali, pameran barangan dagangan Ejen Ali, dan berpeluang memenangi Samsung Smart TV bersaiz 65 inci! Untuk turut serta, daftarkan diri sebagai ahli baharu dan melanggan pelan Tonton, atau beli barangan dagangan di reruai. Peminat setia juga boleh bergambar bersama maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia dalam sesi ramah mesra pada jam 12.00 tengah hari, 3.30 petang, dan 4.30 petang setiap hari.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan tayangan khas trailer teaser rasmi misi baharu “Misi: First Look Ejen Ali The Movie 2 (EATM 2)”, yang akan dilancarkan secara rasmi pada pukul 9.00 malam, 13 September 2024 di saluran YouTube rasmi Ejen Ali. Kunjungi www.youtube.com/ejenali untuk mendapatkan maklumat terkini dan menarik mengenai Ejen Ali The Movie 2. Ambil misi rahsia anda dan pastikan anda melaporkan diri!