Bersama Alternate Records, penyanyi versatil, Shiha Zikir kini kembali dengan sebuah single baru berjudul Pelangi Kelabu, yang menyentuh jiwa melalui liriknya yang mendalam dan melodi pop balada yang memikat hati pendengar. Lagu ini membawa emosi yang kuat, menggambarkan perjalanan hati yang dilanda kesedihan akibat perpisahan. Lebih menarik, Pelangi Kelabu turut dipilih menjadi runut bunyi rasmi untuk drama Marina, yang boleh disaksikan secara eksklusif di aplikasi Tonton setiap Isnin hingga Khamis.
Pelangi Kelabu menggambarkan perasaan hati yang terluka akibat perpisahan, mengisahkan tentang proses menerima kenyataan dan mencari kekuatan untuk meneruskan hidup meskipun dihimpit kesedihan. Lirik lagu ini menggunakan hujan dan air sebagai simbolik untuk menggambarkan kedalaman kesedihan yang melanda jiwa, membawa pendengar untuk merasai kesakitan yang sama.
Pada bahagian korus, liriknya menggambarkan protagonis yang mencari perlindungan di bawah langit mendung, menyembunyikan tangisan yang tidak terucap. Meskipun Pelangi Kelabu melambangkan harapan yang semakin pudar, lagu ini mengingatkan kita bahawa, seperti hujan yang akhirnya reda dan pelangi yang muncul semula, kebahagiaan akan kembali selepas kesedihan berlalu.
Shiha Zikir mengungkapkan rasa teruja dan beruntung kerana diberi peluang untuk terlibat dalam projek ini. “Kali pertama saya mendengar demo lagu ini, saya sudah sangat teruja kerana lagu ini mempunyai elemen yang sangat sesuai dengan drama yang sedang trending sekarang. Proses rakaman juga sangat lancar dan hanya mengambil masa tiga jam berkat bantuan dari John Jeeves,” kata Shiha mengenai pengalaman merekod lagu ini.
Mengenai cabaran dalam menghasilkan Pelangi Kelabu, Shiha menjelaskan bahawa mendapatkan mood yang tepat adalah ujian utama dalam menyampaikan lagu ini. “Saya perlu menyelami kesakitan yang saya rasakan agar dapat menyampaikan lagu ini dengan sepenuh hati. Saya harap lagu ini dapat memberi kesan mendalam kepada pendengar, kerana kita semua pasti pernah merasai kekecewaan dan kesakitan dalam proses untuk move on,” tambahnya.
Dicipta oleh John Jeeves, Iqie Hugh, dan Omar K, Pelangi Kelabu lahir daripada idea untuk menggambarkan kesedihan yang dapat mengaburkan kebahagiaan, seperti pelangi yang sepatutnya berwarna-warni tetapi akhirnya kelabu. John Jeeves memuji Shiha Zikir atas kemampuannya untuk menyampaikan pelbagai ekspresi melalui nyanyian, menjelaskan bahawa kerjasama mereka sangat memuaskan. “Shiha datang ke studio dengan persediaan yang hebat dan idea-idea yang bernas, menjadikan proses rakaman sangat lancar,” jelas John Jeeves.
Menurut John Jeeves, lagu ini tidak hanya menarik dari segi melodi, tetapi juga kerana penyampaian Shiha yang begitu asli dan memukau. “Kami berharap lagu ini memberi impak yang mendalam kepada pendengar dan memperkenalkan sisi baharu Shiha dalam dunia seni. Kami sangat teruja untuk berkongsi karya ini dengan semua, dan berharap ia diterima baik oleh industri muzik serta meraih kejayaan komersial yang membanggakan,” ujarnya.
Pelangi Kelabu kini boleh didengari melalui platform penstriman dalam talian seperti iTunes, Spotify, dan YouTube Music. Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman muzik yang luar biasa ini.
Untuk maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari media sosial rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.