Empat puluh tahun dalam industri muzik bukan satu pencapaian biasa. Namun bagi Ratu Jazz Malaysia, Sheila Majid, ia adalah bukti kepada ketekunan, keaslian dan semangat yang tidak pernah padam. Bagi meraikan ulang tahun ke-40 perjalanan seninya, penyanyi ikonik ini tampil dengan single terbaharu berjudul Moving On, yang dilancarkan dalam sebuah acara penuh gaya di Pavilion Damansara Heights.
Lebih daripada sekadar sebuah lagu baharu, Moving On adalah luahan rasa seorang pengkarya yang telah melalui pelbagai fasa dalam hidup dan kariernya. Menggabungkan elemen muzik disko klasik dengan sentuhan moden nu-disco, lagu ini menjadi simbol kekuatan dan kebebasan. Menurut Sheila, karya ini bukan untuk mengejar arus semasa, sebaliknya untuk menyampaikan rasa yang tulen. “Saya sentiasa percaya muzik yang datang dari jiwa akan kekal di hati pendengar,” ujarnya penuh makna.
Inspirasi untuk Moving On hadir selepas Sheila melihat bagaimana karya lamanya seperti Sinaran kembali mendapat tempat di hati generasi baharu. Fenomena ini mendorongnya untuk terus berkarya dan menyatukan semula dunia muzik antara dua generasi. Lagu baharu ini juga menyingkap cabaran jiwa generasi muda yang mencari makna diri dalam zaman digital yang serba mencabar, menyeru mereka untuk terus melangkah dan tidak terperangkap dalam kekecewaan silam.
Bagi menghasilkan Moving On, Sheila bekerjasama dengan penerbit terkenal dari Korea Selatan, Hyuk Shin nama besar dalam industri muzik global. Lagu ini menampilkan nuansa klasik yang meminjam semangat Donna Summer dan Diana Ross, serta elemen city pop yang kini kembali digemari. Semua ini mencerminkan akar muzik Sheila yang telah lama mempengaruhi corak muzik Malaysia sejak era 80-an.
Acara pelancaran turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif yang menyeronokkan untuk peminat. Antara kemuncaknya ialah persembahan istimewa daripada barisan artis muda seperti Tabby, NAKI dan Gaston Pong, serta pertandingan ‘Best Dressed’ bertemakan era disko, yang memberi peluang kepada peminat memenangi tiket eksklusif ke konsert Sheila yang bakal berlangsung September ini.
Selain itu, acara di Pavilion Damansara Heights itu turut menampilkan pameran memorabilia istimewa, yang memperlihatkan transformasi karier Sheila sejak mula mencipta nama pada tahun 1985. Pameran ini bakal membawa pengunjung mengimbas kembali detik-detik gemilang dan evolusi muzik yang menjadikan Sheila Majid ikon seni Malaysia.
“Sheila masih mencipta magis,” kata Kim Lim dari Universal Music Malaysia. “Dan Moving On adalah bukti bahawa bakat sejati tidak pernah lapuk ditelan zaman.” Lagu ini bukan sahaja menyentuh hati mereka yang membesar bersama muzik Sheila, tetapi turut meraih pengikut baharu yang mula mengenal keindahan muzik klasik kontemporari.
Dengan rekod pencapaian luar biasa di pentas tempatan dan antarabangsa, termasuk di Jepun, Indonesia, UK dan Amerika Syarikat, Sheila Majid terus berdiri megah sebagai lambang keunggulan seni suara. Keistimewaan vokalnya, keanggunan persembahan dan kematangan dalam berkarya menjadikan beliau bukan sekadar penyanyi, tetapi lagenda yang merentas masa.
Moving On adalah peringatan bahawa Sheila Majid belum selesai. Beliau bukan sahaja masih ada tetapi masih di hadapan, memimpin arus dengan penuh bergaya.- Tehtariktimes