Sheila Majid 40 Tahun: Legasi Seni yang Menjadi Nadi Muzik Nusantara

Kepercayaan terhadap kredibiliti Altus Prohouse sebagai penganjur konsert berprestij di Malaysia tidak lagi boleh dipersoalkan. Tahun demi tahun, mereka membuktikan keupayaan dengan penganjuran acara berskala besar yang bukan sahaja berjaya dari sudut komersial, malah meninggalkan impak mendalam dalam industri hiburan tempatan.

Tahun ini, Altus Prohouse sekali lagi melakar sejarah apabila tampil menganjurkan sebuah konsert mega yang bakal menjadi penanda aras baharu Sheila Majid 40 Years in Music. Bersama TopGallant Show selaku penganjur bersama, acara berprestij ini bakal berlangsung dengan penuh gemilang di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 8 November 2025.

Ini bukan sekadar konsert penghargaan. Ini adalah perayaan besar-besaran terhadap perjalanan 40 tahun seorang legenda seni suara, Sheila Majid, yang telah menjadi nadi penting dalam dunia muzik Nusantara. Dari Sinaran hingga Legenda, Sheila bukan sekadar menghibur beliau menyentuh jiwa, menyatukan generasi, dan mendefinisikan elegan dalam dunia muzik.

Konsert ini menjanjikan pengalaman istimewa dan penuh warna. Bukan sahaja dari sudut persembahan vokal dan musikal, tetapi juga dari segi penceritaan karier Sheila Majid yang dilakar dengan penuh pengorbanan, kejayaan dan ketekalan selama empat dekad. Ia adalah konsert yang mengangkat legasi seorang ratu bukan kerana usia, tetapi kerana relevan yang tak pernah padam.

“Sheila Majid 40 Years in Music bukan hanya sebuah konsert ia adalah pesta seni untuk seluruh peminat muzik Melayu dan Nusantara. Ia adalah simbol perjuangan seorang seniman yang terus menyinar, walau zaman berganti,” kata Miselyn Yee Siew, wakil Altus Prohouse.

Menjadikan konsert ini lebih bermakna, pasukan kreatif ternama turut terlibat bagi memastikan produksi yang dihasilkan mencapai tahap luar biasa. Antara mereka termasuk Mac Chew selaku pengarah muzik sejak 1987, Jenny Chin yang sinonim dengan sinergi bunyi ikonik Sheila, Jennifer Thompson yang terkenal sebagai pengarah konsert berskala besar, serta Steve Ho pereka pentas berkaliber antarabangsa yang pernah berkhidmat untuk ikon Cantopop seperti Jacky Cheung dan Eason Chan.

Istimewanya, buat julung kali dalam sejarah kariernya, Sheila Majid bakal menggegarkan pentas dalaman terbesar Malaysia, Axiata Arena, dengan konsert solo mega yang diimpikan sekian lama. Peminat bukan sahaja akan menikmati dendangan lagu-lagu ikonik, malah mereka turut diraikan menerusi ZON PARTI Eksklusif yang membolehkan mereka menari dan menyanyi bersama Sheila dalam suasana yang lebih dekat dan penuh semangat.

“Saya tak pernah menyangka akan berada di tahap ini 40 tahun dalam industri bukan perjalanan mudah. Tapi inilah bukti bahawa cinta peminat dan sokongan insan-insan hebat di sekeliling saya menjadi tiang utama kepada semua ini,” kata Sheila Majid yang merendah diri meskipun bergelar legenda.

Tiket akan mula dijual pada 17 Julai 2025 jam 10 pagi melalui laman web rasmi www.ticket2u.com.my/sheilamajid40. Harga tiket bermula dari RM268 (CAT 4) hingga ke pakej eksklusif ZON PARTI bernilai RM3,400. Pelanggan OKU boleh membuat pembelian tiket menerusi WhatsApp di talian +6019-595 1931.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini. Sheila Majid 40 Years in Music bukan hanya satu malam persembahan ia adalah penghormatan terhadap muzik, seni dan seorang wanita yang telah menjadi suara sebuah generasi. –Tehtariktimes