Penyanyi, komposer dan pelakon serba boleh, Sharul Kamal, kini melangkah ke satu fasa baharu dalam kerjaya seninya apabila secara rasmi bernaung di bawah label muzik ternama, Rocketfuel Entertainment. Perjalanan terbarunya ini diraikan dengan pelancaran single pertama berjudul “Emas” dan bakal disusuli dengan single kedua “Bayangan”, yang turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) filem aksi penuh dinanti, Magik Rompak.
Sharul menzahirkan rasa syukur kerana kini menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel Entertainment. Menurutnya, memiliki pasukan yang mempercayai visi seni amat penting buat seorang artis, malah beliau yakin kerjasama ini bakal membuka peluang lebih luas untuk muziknya berkembang, bukan sahaja di Malaysia malah hingga ke peringkat serantau.
Single “Emas”, yang dilancarkan pada 18 Ogos lalu bersama muzik video rasmi, menjadi titik mula perjalanan baharu Sharul bersama Rocketfuel. Lagu bernuansa rock mellow ini bukan sekadar menampilkan sisi emosinya yang penuh perasaan, tetapi turut melambangkan simbolik permulaan yang bermakna dalam karier muziknya. Sharul menyifatkan lagu ini sebagai jambatan untuk lebih dekat dengan para pendengar yang menghargai karya jujur dan ikhlas.

Tidak berhenti di situ, Sharul bakal hadir dengan kejutan istimewa melalui single “Bayangan”, hasil ciptaan dirinya sendiri bersama rakan baik serta kolaborator lamanya, Aepul Roza. Lebih istimewa, lagu ini terpilih sebagai OST rasmi filem Magik Rompak, yang dibintangi barisan pelakon popular tanah air seperti Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson dan Nadhir Nasar. Filem ini dijangka menemui penonton di pawagam bermula 11 September 2025, sekali gus menjadikan “Bayangan” sebagai nadi emosi dalam penceritaan filem tersebut.
Sharul mengakui peluang menghasilkan OST untuk filem berskala besar seperti Magik Rompak merupakan satu pengalaman membanggakan. Beliau percaya bahawa lagu tersebut mampu memberikan kesan mendalam kepada penonton di layar perak. Aepul Roza turut berkongsi keterujaannya, menyatakan keyakinan terhadap bakat dan visi muzik Sharul, sambil menegaskan bahawa “Bayangan” bukan sahaja kuat dari segi melodi, tetapi juga sarat dengan penceritaan jiwa yang mendalam.
Dengan pelancaran dua single ini, Sharul Kamal membuktikan dirinya bukan sekadar penyanyi, malah seorang penulis lagu yang berjiwa besar. Bersama Rocketfuel Entertainment, beliau berjanji akan terus berkarya dengan penuh keikhlasan demi menyampaikan karya yang berkualiti dan meninggalkan kesan kepada para pendengar.
Single “Emas” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Joox, KKBox, Deezer, Apple Music serta YouTube Music. Sementara itu, single “Bayangan” bakal menemui pendengar bermula 5 September 2025, sekaligus menandakan perjalanan baharu penuh warna buat Sharul Kamal di persada muzik tanah air.