Ara Johari terus mengorak langkah dalam industri muzik dengan pelancaran single terbaru, Zapin Malam Raya. Lagu ini menampilkan kelainan apabila mengangkat irama zapin Melayu, satu genre yang jarang dibawakan oleh penyanyi tersebut. Lebih menarik, lagu ciptaan Affan Mazlan dan Syafiq Al Gambus ini turut mendapat sentuhan humor dengan kehadiran kumpulan Trio Latah sebagai penyanyi undangan.
Menurut Ara, beliau sudah lama bercadang untuk menghasilkan lagu raya tetapi sukar menemui demo yang sesuai. Namun, pertemuan dengan Affan Mazlan minggu lalu membuka peluang untuk merealisasikan impiannya. “Alhamdulillah, hasil perbincangan singkat itu terhasil lagu ini,” katanya.


Keunikan Zapin Malam Raya bukan sahaja terletak pada melodinya yang rancak, tetapi juga penggunaan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan dalam liriknya. Lagu ini mengisahkan seorang suami yang begitu teruja apabila tiba gilirannya untuk pulang beraya ke kampung halaman. Ara sendiri mengakui ini merupakan cabaran baharu baginya kerana sebelum ini lebih sinonim dengan lagu-lagu berentak rock.
Muzik video rasmi lagu ini kini dalam proses penggambaran dan dijangka akan mula ditayangkan pada minggu hadapan. Peminat boleh menantikan karya penuh warna-warni ini yang bakal menambah keceriaan suasana Aidilfitri.
Zapin Malam Raya akan diedarkan oleh Universal Music Malaysia dan boleh didengarkan di semua platform digital bermula 19 Mac. Pastikan anda tidak ketinggalan menikmati lagu istimewa ini!