Kumpulan wanita popular era 90-an, ELITE, bakal kembali menghangatkan industri muzik tempatan menerusi konsert berskala besar ELITE LIVE ‘25 yang akan berlangsung pada 20 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Ini merupakan kali pertama mereka mengadakan persembahan besar secara langsung selepas lebih dua dekad.
Konsert ini dianjurkan oleh Icon Entertainment, penganjur berkaliber yang sebelum ini mencipta sejarah melalui Konsert genKRU. ELITE yang dianggotai oleh Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi dan Azza pernah muncul sebagai antara kemuncak paling bertenaga dalam konsert tersebut, sehingga menerima permintaan ramai untuk kembali ke pentas.

Mengulas penganjuran konsert ini, Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menyatakan bahawa ELITE LIVE ‘25 bukanlah projek tangkap muat semata-mata. Sebaliknya, ia melalui pelbagai fasa kajian dan perancangan rapi, sekali gus menjadi satu penghargaan buat karya-karya ELITE yang masih relevan dan digemari hingga kini.
Bagi ELITE sendiri, peluang ini adalah detik penuh emosi kerana sudah lama tidak membuat persembahan secara bersama. Mewakili kumpulan, Linda mengakui mereka berasa gementar pada awalnya, namun bersetuju menyahut cabaran demi memenuhi hasrat peminat lama serta meraikan generasi baharu yang kini mengenali muzik mereka.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuklah Trauma, Tamparan Wanita, Manisnya Senyumanmu, Sesuatu Di Dalam Dirimu dan G.I.G lagu-lagu yang pernah mencetus fenomena tersendiri di era kegemilangan mereka.
Tiket konsert akan mula dijual pada Khamis, 26 Jun 2025 jam 2 petang menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my/elite. Harga tiket ditawarkan dalam beberapa kategori iaitu G.I.G pada harga RM1088 termasuk sesi Meet & Greet serta hidangan ringan, diikuti kategori Manisnya Senyumanmu berharga RM588. Manakala untuk peminat yang inginkan pengalaman lebih dekat dengan pentas, kategori Catwalk dan Tamparan Wanita masing-masing berharga RM268.

ELITE LIVE ‘25 menjanjikan sebuah persembahan penuh kenangan, sesuai buat mereka yang membesar bersama muzik ELITE serta generasi baharu yang ingin merasai sendiri kehangatan aura bintang legenda ini. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini! – Tehtariktimes