Republic Mokhmah Records membuka tirai tahun 2026 dengan penganjuran konsert gandingan dua pemuzik legenda tanah air Kristal X dan Azlan & The Typewriter menerusi konsert bertemakan “Rockolusi Kuasa Dua”, yang akan berlangsung pada 1 Februari 2026 di Zepp Kuala Lumpur. Kolaborasi istimewa ini menyatukan dua nama besar dalam industri muzik tempatan yang pernah mencipta fenomena menerusi lagu-lagu ikonik seperti Memburu Impian, Luahan Hati, Suatu Kenangan, Seragam Hitam dan Jangan Khianati Aku. Ia menjanjikan sebuah persembahan bertenaga yang bakal mengembalikan nostalgia peminat lama, di samping memperkenalkan semangat rock sebenar kepada generasi baharu.
Menurut wakil Republic Mokhmah Records, Encik Musa, konsert ini adalah inisiatif untuk meraikan karya dua pemuzik prolifik yang masih relevan hingga kini. “Kristal X adalah sebuah kugiran legenda yang menghasilkan lagu-lagu malar segar dengan tenaga dan keunikan tersendiri. Azlan pula merupakan antara vokalis terbaik negara yang mampu membawa karya penuh jiwa dan nada tinggi yang mengagumkan. Rockolusi Kuasa Dua menjadi pentas istimewa untuk menyatukan dua generasi dan membuktikan kehebatan muzik tempatan,” ujarnya. Lagu baharu bertajuk Rockolusi, hasil nyanyian bersama Kristal X dan Azlan & The Typewriter, turut diperkenalkan pada sidang media di Ideas Hotel Kuala Lumpur.

Lebih menarik, konsert ini bakal menampilkan kelainan dengan penglibatan Nogori Arts School Voice Ensemble (NASVE) sebuah kumpulan koir sekolah yang pernah muncul juara peringkat negeri dan tempat keempat peringkat kebangsaan. Kumpulan koir ini terdiri daripada 24 pelajar, diketuai oleh Sir Hazrin, dan turut disertai oleh anak kepada Lan Solo serta Azlan sendiri. Kehadiran koir ini dijangka memberi warna dan kekuatan tambahan kepada persembahan, menjadikan konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, tetapi sebuah produksi besar yang menggabungkan pelbagai elemen seni.
Bagi Azlan, peluang untuk berkongsi pentas dengan Kristal X adalah satu penghormatan besar. “Saya amat berbesar hati menerima pelawaan Republic Mokhmah Records. Kami membesar dengan karya Kristal X, dan kini berkongsi pentas bersama adalah sesuatu yang luar biasa. Inilah masanya untuk peminat keluar dan menyaksikan kami secara langsung setelah sekian lama,” katanya. Konsert ini juga menjadi platform untuk memperlihatkan betapa kedua-dua nama ini masih ‘hidup’ dalam industri muzik dan terus mendapat sokongan kuat daripada peminat setia.
Tiket untuk Rockolusi Kuasa Dua boleh didapati melalui ilassotickets.com sejak 23 September jam 3 petang, dengan harga bermula RM168, RM188, RM248, RM348, dan Royal Box RM8000 untuk 10 orang. Republic Mokhmah Records percaya konsert ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi satu bukti nyata bahawa industri muzik tempatan memiliki ramai pemuzik berbakat yang masih relevan dan perlu terus diberikan ruang untuk bersinar. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada sejarah bersama Kristal X dan Azlan & The Typewriter di Zepp Kuala Lumpur, 1 Februari 2026, jam 8 malam.