Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 hari ini bertempat di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Majlis ini merupakan edisi kedua selepas program julung kali diperkenalkan tahun lalu, sebagai pengiktirafan kepada pelajar cemerlang serta usaha berterusan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan RISDA dalam menyokong pendidikan anak-anak pekebun kecil di seluruh negara.
Peningkatan Keputusan Cemerlang SPM Buktikan Keberkesanan Program
Seramai 884 pelajar Program Tuisyen Rakyat RISDA telah mencatat keputusan cemerlang dalam SPM dengan memperoleh sekurang-kurangnya 5A. Ini merupakan peningkatan 35% berbanding 654 pelajar pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan keberkesanan pendekatan pembelajaran berfokus yang dilaksanakan.
Lebih 3,000 Pelajar Terima Manfaat Tahun Ini
Untuk tahun 2024, seramai 3,015 pelajar dari seluruh negara telah menyertai program ini, dengan sokongan 1,005 tenaga pengajar yang memberi bimbingan dalam lima subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah. Sebanyak 201 pusat tuisyen dengan kapasiti 15 pelajar setiap pusat telah dibuka bagi memastikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan tersusun.
Program ini melibatkan peruntukan RM3.52 juta, sebahagian daripada pelaburan pendidikan RISDA yang telah mencecah RM31.03 juta sejak 2007, memberi manfaat kepada lebih 35,000 pelajar seluruh negara.
Permohonan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2025 Kini Dibuka
Dalam majlis sama, RISDA turut mengumumkan bahawa permohonan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2025 kini dibuka sehingga 30 September 2025. Program ini dijangka memberi manfaat kepada 331,142 pekebun kecil dan penoreh getah, termasuk di bawah seliaan RISDA, FELDA dan LIGS, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM264.91 juta.
Setiap penerima layak akan menerima RM800 secara berperingkat bermula November 2025, iaitu RM200 sebulan selama empat bulan.
RISDA menyeru semua pekebun kecil getah untuk segera melayari Portal Pekebun Kecil RISDA atau hadir ke Pejabat RISDA, FELDA, atau LIGS berhampiran untuk tujuan semakan, permohonan, atau pengemaskinian maklumat. – Tehtariktimes