Dua nama besar dalam industri muzik Indonesia, Radja dan Wali, bakal bersatu buat pertama kali di Malaysia menerusi konsert mega bertajuk “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” yang akan berlangsung pada 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya. Gabungan nama RadjaWali membawa makna simbolik satu penyatuan dua legenda muzik Nusantara yang mempunyai pengaruh besar serta barisan peminat setia di Malaysia dan Indonesia.
Konsert ini menjanjikan satu malam penuh emosi, nostalgia dan persembahan bertenaga yang akan menggetarkan pentas serta menggamit kenangan para peminat. Bagi peminat kumpulan Radja, lagu-lagu popular seperti “Jujur”, “Bulan”, “Tulus” dan “Cinderella” pastinya menjadi antara momen yang dinanti. Sementara itu, kumpulan Wali pula bakal menghiburkan peminat dengan deretan lagu hits mereka termasuk “Cari Jodoh”, “Baik-Baik Sayang”, “Yank”, “Tomat (Tobat Maksiat)” dan “Doaku Untukmu Sayang” yang pernah mendominasi carta muzik rantau ini.
Kumpulan Radja, yang ditubuhkan pada tahun 2001 di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, dianggotai oleh Ian Kasela (vokal), Moldy (gitar utama), Indra Riwayat (bass) dan Seno Aji Wibowo (dram). Dengan genre pop rock dan rock melayu moden, Radja meluahkan keterujaan mereka untuk kembali ke Malaysia setelah sekian lama tidak beraksi di pentas tempatan. “Malaysia selalu dekat di hati kami dan kami tidak pernah melupakan peminat di sini. Ia satu impian menjadi kenyataan apabila kami diundang untuk beraksi semula. Kami janji akan berikan persembahan terbaik buat semua,” ujar Ian Kasela.

Manakala kumpulan Wali, yang ditubuhkan pada tahun 1999 di Ciputat, Tangerang Selatan, dianggotai oleh Faank (vokalis utama), Apoy (gitar & komposer), Ovie (keyboard) dan Tommy (dram). Mengusung genre pop, pop rock dan pop religi, Wali turut menyatakan rasa rindu untuk bertemu peminat Malaysia. “Malaysia ibarat rumah kedua kami. Kami amat menghargai sambutan mesra dan tidak sabar untuk kembali menghiburkan semua dengan persembahan yang berbeza daripada sebelumnya,” ujar mereka.
Konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia dianjurkan oleh Impian Al Fateh Sdn. Bhd. dan GIS Entertainment & Events, dengan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) sebagai penganjur bersama. Tiket kini mula dijual menerusi Fantopia.io dan boleh dibeli dengan mudah melalui ShopeePay. Antara kategori tiket yang ditawarkan termasuk VIP (RM977), RW2 (RM477), RW3 (RM277), RW4 (RM177), RW5 & RW6 (RM477) dan RW7 (RM377).
Acara ini dijangka menjadi pembuka tirai konsert tahun 2026 yang penuh bermakna, menyatukan dua legenda muzik Nusantara dalam satu pentas gah, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan istimewa antara dua negara serumpun Malaysia dan Indonesia melalui bahasa sejagat muzik.