Selepas mencatatkan kejayaan besar di Indonesia, filem Qodrat 2 kini bakal disaksikan oleh penonton Malaysia di pawagam seluruh negara bermula 17 April 2025. Filem seram ini telah mendapat sambutan hangat di Indonesia dengan lebih 2 juta penonton setakat ini, dan kini berkolaborasi dengan Astro Shaw untuk tayangan di Malaysia.
Qodrat 2 bukanlah sekadar filem seram biasa. Ia menampilkan gabungan elemen aksi, thriller, seram, serta superhero dengan tema keagamaan yang kuat. Filem ini dipersembahkan dengan produksi berskala besar oleh beberapa syarikat terkenal seperti MAGMA Entertainment, Rapi Films, Legacy Pictures, dan Astro Shaw. Penceritaan yang mendalam dan penggunaan kesan khas yang menakjubkan membedakan Qodrat 2 daripada filem seram Indonesia yang lain.
Berlatar belakang pertempuran hebat antara Qodrat (lakonan Vino G. Bastian) dan isterinya, Azizah (Acha Septriasa), filem ini menyoroti perjuangan Qodrat untuk menyelamatkan isterinya yang terperangkap dalam perangkap iblis Asu’ala. Tanpa bergantung pada babak ‘jumpscare’, filem ini memberikan pengalaman menonton yang lebih mendalam melalui aksi yang memukau serta kesan khas yang menyeramkan.

Qodrat 2 turut menandakan kemunculan semula Acha Septriasa setelah sekian lama tidak berlakon, serta gabungan semula beliau dengan Vino G. Bastian selepas 17 tahun. Selain mereka, filem ini turut dibintangi oleh Donny Alamsyah, Della Dartyan, dan Hanna Saraswati.
Penerbit Eksekutif Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan bahawa Qodrat 2 memperkenalkan pendekatan baru dalam penghasilan filem seram yang menggabungkan emosi, aksi, dan tema agama. Formula ini telah diterima baik di Indonesia, dan beliau berharap penonton Malaysia juga akan menikmati pengalaman yang sama.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton Qodrat 2 di pawagam mulai 17 April ini. Gunakan #Qodrat #FilmQodrat2 #Qodrat2MY di media sosial untuk berkongsi pendapat anda tentang filem ini!
Ikuti perkembangan terbaru tentang Qodrat 2 di platform digital Astro Shaw.