QIFARAH: Treler Rasmi Kini Dilancarkan, Bersedia Diganggu 9 Oktober Ini!

“Malang tidak berbau.” Begitulah inti rasa yang ingin disampaikan menerusi naskhah seram terbaharu arahan pengarah prolifik, Ghaz Abu Bakar, berjudul Qifarah. Filem ini dijadualkan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 9 Oktober 2025, menjanjikan pengalaman mendebarkan yang penuh kejutan.

Sejak poster dan treler rasminya dilancarkan baru-baru ini, Qifarah menjadi perbualan hangat di media sosial. Rata-rata peminat meluahkan keterujaan dan rasa ingin tahu terhadap paparan seram berani yang ditonjolkan, daripada jumpscare yang menggoncang jiwa sehinggalah kepada visual serta efek bunyi yang mengerunkan. Aura seram dan misterinya seakan cukup untuk membuat penonton tidak senang duduk.

Menambah lagi kekuatan, Qifarah menampilkan barisan pelakon ternama tanah air seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Namron, Rita Nadira, Vanidah Imran, Esma Daniel dan Rafique Iskandar. Gabungan bakat hebat ini dijangka mampu mengikat emosi penonton dari awal sehingga akhir.

Filem ini mengisahkan Yusoff (lakonan Remy Ishak), yang dihantui legasi ilmu hitam keluarganya. Segalanya bermula apabila dia menerima panggilan mengejutkan tentang ayahnya, Ghazali (Esma Daniel), yang tenat. Pemergiannya pulang dari Cairo bukan sahaja membuka kembali kisah silam, tetapi turut membongkar rahsia gelap, dendam lama serta bayangan mistik yang tidak pernah berhenti memburu dirinya.

Treler berdurasi 1 minit 30 saat yang dilancarkan telah berjaya menetapkan nada seram filem ini. Dengan paparan amalan mistik dan pemujaan misteri, ia menawarkan elemen baharu dalam genre seram tempatan yang membawa faktor kejutan besar. Tidak hairanlah jika treler ini menjadi antara topik hangat dalam kalangan peminat filem seram di Malaysia.

Sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi, Primeworks Studios mempersembahkan treler rasmi Qifarah yang kini boleh ditonton di semua platform media sosial Skop Productions, MyWay Pictures, Primeworks Studios dan Astro Shaw.

Untuk kemas kini terkini dan kandungan eksklusif, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem seram paling dinanti tahun ini – Qifarah, mula menghantui pawagam pada 9 Oktober 2025!