Program Beras Amal Sekampit Beras Satu Keluarga (SBSK) Kembali, Sasaran 30 Tan Beras untuk Golongan Memerlukan

oplus_131072

Insaf Malaysia, sebuah pertubuhan kebajikan yang ditubuhkan pada 2009, sekali lagi melancarkan Program Beras Amal Sekampit Beras Satu Keluarga (SBSK) bagi membantu golongan asnaf, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, dan rumah kebajikan. Program yang telah berjalan selama lebih dari 16 tahun ini telah memberi sumbangan besar, membantu lebih 431 rumah kebajikan dan 1309 murid sekolah.

Presiden dan Pengasas Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir, menjelaskan bahawa program SBSK bermula secara kecil-kecilan dan telah berkembang lebih besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. “Sebelum pandemik COVID-19, Insaf Malaysia berjaya mengumpul 15 tan beras. Namun, program ini terpaksa dihentikan sementara akibat halangan pergerakan semasa pandemik,” katanya.

Meskipun berdepan dengan kesulitan tersebut, Ishak menyatakan bahawa Insaf Malaysia memulakan semula program ini secara kecil-kecilan pada tahun lepas dan kini bercadang untuk memperluas lagi kutipan beras pada tahun ini. Sasaran utama adalah untuk mengumpul 30 tan beras atau 30,000 kilogram, yang akan diagihkan kepada tiga lokasi utama iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, dan Pulau Pinang.

Sebahagian besar daripada kutipan beras akan digunakan untuk Dapur Insaf, yang menyediakan makan tengah hari kepada 750 murid anak yatim setiap hari di beberapa sekolah terpilih. Satu pertiga lagi akan disalurkan kepada sekolah-sekolah bagi menyediakan makanan dan barangan asas kepada murid-murid asnaf, termasuk beras 10 kg, minyak masak, dan kicap. Manakala selebihnya akan diberikan kepada golongan OKU, warga emas, dan mereka yang memerlukan melalui rumah kebajikan.

Untuk memudahkan proses kutipan, Insaf Malaysia menyediakan tiga pusat kutipan utama, iaitu di Taman Seputeh, Taman Setiawangsa, dan Perda, Pulau Pinang. Orang ramai boleh menghantar sumbangan beras dengan hanya “drop off” di tempat yang disediakan. Selain itu, pihak Insaf Malaysia juga mempermudahkan sumbangan kewangan melalui pindahan wang menggunakan QR Code akaun Maybank mereka.

Sebagai tambahan kepada usaha ini, Insaf Malaysia juga akan bekerjasama dengan IRAMA Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA). Melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani bersama Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid, pihaknya akan menyediakan bantuan beras sebanyak 40 hingga 50 kampit untuk diagihkan kepada golongan sasaran, termasuk penggiat seni yang memerlukan.

Program SBSK akan dijalankan sepanjang tahun, dengan puncak kutipan beras dijangka pada bulan Rejab, Syaaban, dan Ramadan. Ishak menjelaskan bahawa selain program SBSK, Insaf Malaysia juga mengadakan pelbagai program kebajikan lain seperti berbuka puasa, bubur lambuk, dan sumbangan untuk golongan yang memerlukan semasa bulan puasa.

Dalam masa yang sama, Insaf Malaysia turut mengekalkan aktiviti kebajikan lain, termasuk program CSR untuk sekolah-sekolah yang melibatkan pemberian cermin mata, farmasi, dan foodbank untuk membantu mereka yang memerlukan.

Sejak penubuhannya, Insaf Malaysia telah mencatatkan kejayaan yang menggalakkan dalam usaha mereka untuk membantu golongan kurang bernasib baik. Program ini bukan sahaja memberikan manfaat besar kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga membuka peluang bagi masyarakat untuk bersama-sama terlibat dalam usaha kebajikan yang sangat bermakna.

Dengan sasaran kutipan beras yang semakin meningkat, Insaf Malaysia berharap program ini dapat terus berkembang dan memberi lebih banyak impak positif kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.