Majlis pelancaran OST, trailer, dan di sebalik tabir filem Dajal (Satu Malam diPedajal) berlangsung meriah di GSC The Starling Mall dengan kehadiran para pelakon, wakil media, blogger, influencer, dan tetamu jemputan. Acara ini dimeriahkan lagi dengan persembahan langsung lagu tema filem tersebut, tayangan perdana lirik video, trailer khas, serta paparan eksklusif di sebalik tabir yang dipersembahkan kepada hadirin.
Lagu tema filem ini, Di Kala Malam, dinyanyikan oleh Zynakal, menandakan kerjasama sulung antara MIG dan penyanyi berbakat itu dalam menghasilkan OST filem. Penerbit filem, David Teo, menyifatkan karya ini sebagai sebuah naskhah luar biasa yang sepenuhnya ditulis oleh Pierre Andre, memaparkan kebolehannya sebagai seorang penulis dan pengarah.
![](https://tehtariktimes.com/wp-content/uploads/2025/01/H0400639-1024x683.jpg)
Filem bergenre thriller ini merupakan percubaan pertama Metrowealth dalam genre tersebut, menjanjikan pengalaman tontonan segar dan unik untuk para penonton.
Filem arahan Pierre Andre ini menampilkan barisan pelakon utama yang terdiri daripada Amir Nafis dan Bidin Al-Zaifa, seorang pempengaruh terkenal. Turut membintangi filem ini adalah nama-nama hebat seperti Khatijah Tan, Jay Iswazir, Jaja Iliyes, Dai Syed, Hanna Halim, Dai Fuad, dan Arfa Danish.
![](https://tehtariktimes.com/wp-content/uploads/2025/01/H1104146-1024x683.jpg)
Kisahnya berkisar tentang dua pekerja Post-Traumatic Cleaner yang terperangkap dalam sebuah banglo misteri selepas salah seorang daripada mereka membaca sebuah buku ritual lama semasa melakukan kerja pembersihan. Filem Dajal (Satu Malam diPedajal) dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 6 Februari 2025.
Sementara itu, sebuah filem baharu terbitan Laku Pictures dengan edaran Metrowealth dijangka menemui penonton pada pertengahan tahun ini, menambah lagi variasi karya hebat untuk dinikmati peminat filem tanah air.