Dunia rock tanah air dikejutkan dengan pengumuman rasmi daripada dua anggota penting kumpulan legenda WINGS, iaitu Azmi bin Hashim yang lebih dikenali sebagai Black Wings dan Samsaidi bin Ulong Idris atau Eddie Wings. Kedua-duanya telah mengumumkan keputusan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan WINGS berkuat kuasa serta-merta, bermula hari ini.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, mereka turut memaklumkan bahawa tidak akan terlibat dalam “Konsert WINGS 40 Tahun Celebration” yang dijadualkan berlangsung pada 28 November 2025 di Kuala Lumpur dan 24 Disember 2025 di Singapura.
Keputusan ini semestinya mengejutkan ramai peminat setia kumpulan rock lagenda itu, terutama sekali menjelang sambutan besar ulang tahun ke-40 WINGS yang dijangka menjadi antara konsert paling bersejarah dalam karier mereka.

Walaupun punca utama pengunduran ini tidak dijelaskan secara terperinci, peminat menyifatkan langkah tersebut sebagai satu kehilangan besar buat kumpulan yang telah mewarnai industri muzik Malaysia selama lebih empat dekad. Sejak ditubuhkan, WINGS telah melakar pelbagai kejayaan dan dikenali dengan lagu-lagu ikonik seperti “Sejati”, “Taman Rashidah Utama”, dan “Biarkan Berlalu”, yang terus menjadi siulan generasi peminat hingga kini.
Pengunduran Black dan Eddie menandakan satu lagi perubahan besar dalam sejarah kumpulan WINGS, yang sebelum ini juga pernah melalui beberapa pertukaran ahli namun tetap utuh sebagai simbol muzik rock Malaysia. Peminat kini menantikan kenyataan lanjut daripada pihak pengurusan WINGS mengenai hala tuju dan barisan baharu kumpulan itu menjelang konsert ulang tahun mereka yang dinanti-nantikan.