Selepas bertahun-tahun menyepi dari dunia seni, model dan pelakon popular era 2000-an, Zahnita Wilson, sekali lagi menonjolkan bakatnya di hadapan kamera dalam penggambaran video muzik lagu “Aku Tetap Raya”. Lagu yang dipopularkan oleh penyanyi baharu, Soma, ini memberi peluang kepada Zahnita untuk kembali ke dunia perfileman setelah lama memberi fokus kepada keluarga dan kehidupan peribadinya di Kuantan.
Zahnita, yang terkenal dengan penampilannya yang memukau pada zaman kegemilangannya, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya sewaktu menjalani penggambaran tersebut. “Saya tidak sangka akan kembali ke set penggambaran selepas berpuluh tahun menyepi. Sewaktu kamera mula merakam, perasaan bercampur-baur. Ada rasa gementar, ada juga rasa terharu kerana masih diberi peluang untuk berkarya, tetapi dengan bantuan pihak produksi yang berpengalaman serta sikap Soma yang sangat lembut membuatkan saya tidak kekok dan terus bersemangat,” ujar Zahnita dengan penuh emosi.
Keterujaan Zahnita untuk kembali beraksi di layar perak datang di saat dirinya baru sahaja menghadapi dugaan besar dalam kehidupan peribadi. Baru-baru ini, beliau menjadi perhatian ramai apabila dikatakan terlibat dalam insiden dipukul oleh suami, yang mengejutkan banyak pihak. Namun, Zahnita memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut tentang hal tersebut dan memfokuskan perhatian kepada masa depannya.

“Saya mahu terus kuat untuk anak-anak dan ingin menjalani kehidupan yang lebih bermakna selepas ini,” tambah Zahnita dengan tekad.
Lagu “Aku Tetap Raya”, nyanyian Soma, yang baru dilancarkan pada 6 Mac 2025 di Concorde Hotel Kuala Lumpur, mengangkat tema kekeluargaan dan memberi penekanan kepada erti sebenar sambutan Aidilfitri. Lagu ini turut menampilkan Zahnita sebagai pelakon kedua, selepas kemunculan istimewa Datuk Khadijah Ibrahim dalam video muzik tersebut. Pemilihan Zahnita untuk projek ini dianggap sangat tepat, kerana beliau tidak hanya mewakili elemen nostalgia tetapi juga simbol kekuatan wanita yang bangkit selepas melalui ujian hidup.
Soma, yang juga merupakan penulis lirik dan pencipta lagu ini bersama Belle Fattah dan Adinda Amiro, berharap lagu “Aku Tetap Raya” dapat memberikan keceriaan kepada peminat sepanjang musim perayaan. “Lagu ini sangat bermakna pada saya kerana saya cuba tampilkan kemeriahan sambutan raya berkeluarga dan semangat untuk pulang beraya pada yang tinggal di kota,” ujar Soma yang turut menambahkan bahawa lagu ini adalah karya pertama beliau untuk musim perayaan.

Menurut pihak produksi, kehadiran Zahnita dalam video muzik ini bukan sahaja menambah elemen nostalgia kepada peminat lama, tetapi juga memberikan inspirasi kepada mereka yang melalui cabaran hidup. Video muzik “Aku Tetap Raya” yang telah dilancarkan secara digital pada 14 Mac ini bakal menjadi salah satu momen yang paling dinantikan dalam industri seni tanah air.
Kembalinya Zahnita Wilson dalam dunia seni bukan hanya sekadar kemunculan semula, tetapi juga satu simbol bahawa kekuatan, ketabahan, dan semangat juang seseorang wanita tidak mengenal usia dan waktu. Kemunculan semula beliau pastinya membawa angin segar kepada peminat seni tanah air, yang merindui kehadiran ikon ini di layar perak.