Co-opbank Pertama (CBP) terus melakar sejarah gemilang apabila Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick hari ini merasmikan Wisma Co-opbank Pertama, bangunan baharu yang juga merupakan ibu pejabat rasmi CBP. Majlis perasmian ini menjadi lebih bermakna kerana berlangsung bersempena sambutan ulang tahun ke-75 penubuhan CBP pada 7 Jun lalu.
Wisma Co-opbank Pertama, yang terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Bharu, berdiri megah dengan ketinggian 13 tingkat di lokasi strategik ibu kota. Bangunan ini bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu CBP, tetapi turut melambangkan kekuatan institusi kewangan koperasi ini dalam menempuhi arus kemodenan, selain menyuntik aspirasi untuk terus berkembang sebagai bank koperasi yang moden, mampan dan inklusif di Malaysia.
Menurut Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi, pembangunan Wisma ini selari dengan evolusi CBP yang kini melibatkan diri dalam pelbagai sektor pembiayaan termasuk pertanian dan pembangunan hartanah. Ujarnya lagi, kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan padu daripada kerajaan, pengawal selia, para anggota dan pelanggan CBP sendiri.
“Sejarah transformasi CBP bermula pada September 2014 apabila kami diberi kebenaran penuh oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk beroperasi sebagai sebuah bank koperasi. Kemudian pada 2018, kami menjenamakan semula nama institusi ini kepada Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad, yang kekal digunakan hingga ke hari ini,” jelas Baharom dalam ucapannya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SKM, serta seluruh anggota dan pelanggan atas kepercayaan dan sokongan berterusan terhadap CBP sepanjang 75 tahun penubuhannya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairul Anuar Mohammad Anuar, turut berkongsi pencapaian terkini CBP, termasuk mencatatkan keuntungan tertinggi dalam sejarah bagi tahun 2024 iaitu sebanyak RM124.29 juta. Lebih membanggakan, CBP juga telah diiktiraf sebagai Koperasi Premier Malaysia selama empat tahun berturut-turut dari tahun 2021 hingga 2024.
Perasmian Wisma Co-opbank Pertama ini bukan sekadar simbol fizikal pencapaian CBP, tetapi juga menjadi manifestasi kepada hala tuju baharu organisasi dalam meneroka lebih banyak peluang dan memperkukuh peranannya sebagai institusi kewangan koperasi yang memberi impak positif kepada masyarakat. – Tehtariktimes