KUALA LUMPUR, 25 Februari 2025 – Galeri Kebudayaan WCO melalui entiti perniagaannya, WCO Holdings Sdn. Bhd., telah mencipta sejarah yang baharu dalam arena seni dan budaya di Asia Tenggara. Galeri ini diiktiraf sebagai Galeri Kebudayaan pertama di ASEAN yang mempamerkan koleksi luar biasa sebanyak 3,388 diorama buatan tangan dan karya seni unik. Pengiktirafan yang diterima oleh Galeri Kebudayaan WCO ini adalah satu langkah penting dalam usaha memelihara warisan budaya serta memperkukuhkan keharmonian budaya di Malaysia dan di rantau ASEAN secara keseluruhannya.
Terletak di Batu 10, Cheras, Galeri Kebudayaan WCO telah direka khas untuk menggambarkan warisan pelbagai etnik dan komuniti di ASEAN. Koleksi karya seni yang dipamerkan mencerminkan kepelbagaian sejarah, adat resam, serta keindahan seni rupa budaya tempatan yang menjadi teras identiti setiap komuniti di rantau ini. Hal ini menunjukkan bahawa setiap diorama dan karya yang dihasilkan melalui proses yang teliti dan penuh kesungguhan, menjadikan galeri ini sebagai satu koleksi yang bukan sahaja unik tetapi juga berharga dari segi kultural.

Encik Foo Loke Kee, pengasas Galeri Kebudayaan WCO, meluahkan bahawa pengiktirafan ini merupakan pencapaian besar yang menunjukkan komitmen pihaknya terhadap pemartabatan seni budaya serantau. “Dengan pengiktirafan ini, kami berharap dapat menghidupkan semula warisan budaya dalam kalangan generasi akan datang. Kami berjanji untuk terus menyediakan ruang dan peluang kepada penggiat seni luar agar mereka dapat menyemarakkan identiti budaya di Malaysia dan ASEAN, di samping memupuk perpaduan kaum dan saling memahami antara masyarakat ASEAN,” ujarnya.
Majlis penyerahan sijil pengiktirafan ini melibatkan ASEAN Book of Record (ABR), di mana Galeri Kebudayaan WCO telah diiktiraf sebagai yang pertama dalam kalangan galeri kebudayaan di ASEAN yang mempamerkan 3,388 diorama buatan tangan dan karya seni unik. Majlis bersejarah ini diadakan di Pavilion Damansara Heights dan telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, disertai oleh Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

Pameran ini adalah lanjutan daripada usaha Galeri Kebudayaan WCO untuk menonjolkan kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia. Dalam konteks ini, penting bagi masyarakat memahami keunikan dan kekayaan seni budaya Malaysia sebagai salah satu aset pelancongan yang penting. Dengan memelihara dan mempromosikan seni dan budaya, generasi muda akan lebih bertekad untuk menghargai warisan ini, yang bukan sahaja akan menyumbang kepada pemeliharaan identiti budaya tetapi juga menarik perhatian pelancong serta pengkaji budaya dari dalam dan luar negara.
Sebagai galeri kebudayaan yang pionir dalam menerima pengiktirafan sebegini, Galeri Kebudayaan WCO berhasrat untuk terus memperkasakan pemeliharaan seni dan budaya. Pihaknya juga bercita-cita untuk memperluas koleksi diorama dan kraf buatan tangan, demi memastikan warisan budaya ASEAN sentiasa relevan dan dihargai di peringkat antarabangsa. Dalam menjayakan usaha ini, Galeri Kebudayaan WCO juga telah mendapat pengiktirafan daripada pelbagai agensi dan jabatan, termasuk Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta Malaysia Book Of Record (MBR). Ini termasuk pengiktirafan yang diterima pada September 2021 bagi kategori Pusat Pertama Diorama Buatan Tangan Melalui Silang Budaya Malaysia-China, atau First Cross-Cultural Handcrafted Diorama Centre Malaysia – China.

WCO Holdings Sdn. Bhd. optimis bahawa pameran ini akan menjadi platform yang berfungsi untuk mengeratkan hubungan antara kaum di Malaysia. Pengiktirafan ini diharapkan akan dapat memperkukuhkan perpaduan negara dan menarik ramai pelancong, selaras dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).
Dengan mengambil tahu tentang kepentingan seni dan budaya dalam mengukuhkan ikatan sosial dalam sesebuah negara, kita harus memberi perhatian kepada usaha-usaha seperti yang dilakukan oleh Galeri Kebudayaan WCO. Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja berpeluang untuk menghargai dan memelihara warisan budaya, tetapi juga berupaya memperkukuhkan identiti negara dalam konteks global.