PENDAFTARAN MALAYSIA ESPORTS LEAGUE 2024 (MEL24) KINI DIBUKA HINGGA 4 OGOS

Pendaftaran Malaysia Esports League 2024 (MEL24) bagi Liga Negeri dan Kebangsaan kini dibuka.  Pemain esukan yang berminat untuk mempamerkan bakat mereka hendaklah mendaftar menerusi platform esukan.gg sebelum 4 Ogos ini.

MEL adalah liga esukan terbesar untuk akar umbi kategori amatur dan semi profesional di peringkat negeri dan kebangsaan. Dianjurkan bersama-sama 13 Persatuan Esukan Negeri dan tiga (3) Persatuan Esukan Wilayah Persekutuan, matlamat MEL adalah untuk memberikan sebuah platform kepada peminat esukan negara, terutamanya belia, untuk bersaing.

Ini adalah kali keempat penganjuran Malaysia Esports League (MEL) oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui inisiatif Esports Integrated (ESI), dan pada tahun ini, MEL24 menampilkan empat (4) judul permainan untuk Liga dan dua (2) judul permainan untuk Siri Terbuka dengan menawarkan hadiah tunai terkumpul berjumlah RM264,700.

Empat (4) judul permainan yang dipertandingkan di Liga Negeri dan Kebangsaan ialah Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBG), Garena Free Fire dan eFootball Mobile. Manakala untuk Siri Terbuka bakal mempertandingkan judul permainan Valorant dan Tekken 8.

Liga Negeri akan berlangsung dari 9 hingga 18 Ogos secara dalam talian manakala Liga Kebangsaan bakal berlangsung bermula dari 30 Ogos hingga 6 Oktober juga secara dalam talian.

Lebih menarik tahun ini apabila format liga MEL telah diberi nafas baru di mana para pemain yang bakal mewakili negeri mereka di Liga Kebangsaan akan dipilih oleh Persatuan Esukan Negeri masing-masing, dan bukannya berdasarkan penyertaan pasukan seperti tahun-tahun sebelum ini.

Para peminat esukan dijemput untuk mendaftar penyertaan anda di www.esukan.gg sekarang!

Untuk maklumat lanjut layari media sosial Esport Integrated.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *