Noryn Aziz Persembah Single Terbaru “Kaki Kiriku” & Showcase Eksklusif Untuk Peminat

Selepas sekian lama menyepi daripada dunia muzik, penyanyi jazz tersohor tanah air, Noryn Aziz kembali memberi hadiah istimewa buat para peminatnya dengan pelancaran single terbaharu berjudul Kaki Kiriku serta showcase eksklusif bertajuk This Is Noryn Aziz yang bakal berlangsung pada 19 September 2025 di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.

Single Kaki Kiriku membawa kelainan dengan gabungan jazz klasik, joget tradisional, dan sentuhan Parisian jazz. Lebih menarik, lagu ciptaan Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng ini turut mengetengahkan elemen tongue twister Melayu yang unik, menjadikannya bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga penghormatan terhadap keindahan bahasa dan budaya. Lagu ini diterbitkan oleh Moonshine Productions dengan Noryn sendiri bertindak sebagai Eksekutif Produser.

Muzik video Kaki Kiriku pula diarahkan oleh Revo bersama sentuhan kreatif Patt Ibrahim, menampilkan Noryn dalam busana kebaya yang melambangkan keanggunan serta identiti wanita Melayu. Visualnya yang berlatarkan Limapulo Terrace memperkukuh lagi konsep lagu yang meraikan warisan budaya dan identiti Malaysia.

Tidak hanya dengan single, Noryn turut menghadiahkan peminat dengan sebuah persembahan eksklusif menerusi showcase This Is Noryn Aziz. Acara istimewa ini menjanjikan pengalaman peribadi dan penuh emosi dengan gabungan jazz, soul, R&B serta elemen budaya Malaysia. Persembahan akan dibahagikan kepada dua babak utama: Jazz & Soul Journey yang menampilkan karya asal termasuk Fantasi Realiti, Alam Maya serta Kaki Kiriku; dan R&B Celebration yang mengetengahkan seleksi kontemporari bersama artis undangan.

Bagi Noryn, projek ini bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya satu cerminan perjalanan hidup dan kariernya. Beliau ingin membawa genre jazz keluar daripada ruang yang dianggap asing atau eksklusif, agar ia dapat diraikan sebagai sebahagian daripada lanskap muzik Malaysia. Dengan hanya 500 tempat duduk eksklusif, showcase ini menjanjikan pengalaman intim, hangat, dan penuh jiwa buat para peminat setianya.