Program kanak-kanak popular Astro, The Chosen One XTRA menutup tirai musim terbarunya dengan penuh gemilang apabila kumpulan Naqiu, Iaman & Saputra dinobatkan sebagai juara pada konsert akhir yang berlangsung secara langsung pada Jumaat lalu. Dengan mempersembahkan dua persembahan bertenaga, mereka berjaya meraih markah tertinggi daripada barisan juri, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 beserta trofi.
Kumpulan juara ini, yang menampilkan satu-satunya kumpulan lelaki iaitu Saputra, mendapat sorakan gemuruh apabila mempersembahkan lagu Ayuh (Malique, Kmy Kmo, Aman Ra & Ernie Zakri) digabungkan dengan Evo (Joe Flizzow & Sona One) bersama Coach mereka, serta lagu Joget Angan Tak Sudah (Jay Jay) dan Ya La Dan (Sharifah Aini) untuk persembahan solo. Persembahan mantap ini membuktikan bakat luar biasa serta “extraness” mereka di pentas.
Naib juara dimenangi oleh kumpulan Achey, Rayyan & Dahlya, diikuti tempat ketiga oleh Usop, Alif & Yusuf, manakala Nikki Palikat, Iman & Adawiya meraih tempat keempat. Kesemua finalis turut menerima hadiah wang tunai dan trofi sebagai penghargaan atas usaha dan bakat mereka.

Selain kemenangan utama, beberapa anugerah khas turut diberikan. Naqiu dinobatkan sebagai Coach Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM10,000, manakala Iaman & Saputra menerima Anugerah Persembahan Terbaik bernilai RM10,000 hasil undian juri dan penonton.
Konsert akhir turut dimeriahkan dengan kehadiran juri jemputan tersohor, Dato’ Ramli MS dan Dato’ M. Nasir, di samping juri tetap iaitu Dato’ Awie dan Sharifah Shahirah. Malam penuh bakat ini menampilkan empat kumpulan finalis yang mempersembahkan dua lagu setiap satu kolaborasi bersama Coach dan persembahan solo.
Musim ini tampil dengan pembaharuan apabila buat julung kalinya konsep bakat versatil diketengahkan, membuka ruang lebih luas kepada kanak-kanak Malaysia untuk menyerlahkan keunikan mereka di pentas. Penonton yang terlepas siaran langsung masih boleh menyaksikan episod-episod The Chosen One XTRA menerusi On Demand di Astro GO dan sooka.