MissAlvy Cipta Fenomena Baharu Melalui Single Sulung ‘Terpikat’

Alvynna Joanna Joseph, atau lebih dikenali sebagai MissAlvy di kalangan peminat media sosial, kini melangkah ke dunia nyanyian dengan pelancaran single sulungnya, “Terpikat”, di bawah naungan label terkenal Rocketfuel Entertainment. Lagu ini merupakan hasil karya komposer muda berbakat seperti Nuha Nik, Fahimi Rahmat, dan Brendonse7an, yang berjaya mencipta gabungan unik elemen pop dan EDM, sesuai dengan cita rasa pendengar masa kini.

MissAlvy, yang sebelum ini mencipta nama dalam dunia lakonan melalui watak Siew May dalam drama bersiri popular “Kelas Tahanan Cikgu Hiragi” terbitan Astro, kini menyatakan rasa terujanya dengan perjalanan seni baharu ini. “Ini adalah impian yang menjadi kenyataan. Saya tidak pernah menyangka akan bergelar penyanyi suatu hari nanti.” katanya dengan penuh rasa syukur.

Bermula sebagai pempengaruh media sosial yang berkongsi kandungan secara santai, populariti MissAlvy meningkat dengan pantas. “Dari hanya sekadar suka-suka, kini peluang berlakon dan menyanyi terbuka luas. Ia satu perjalanan yang luar biasa!” jelasnya.

Pelawaan Rocketfuel Entertainment untuk menjadikannya artis rakaman diterima dengan hati terbuka. “Muzik telah menjadi sebahagian hidup saya sejak kecil. Inilah peluang saya untuk membawa minat itu ke tahap yang lebih tinggi,” katanya penuh semangat.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Cik Sher Leen Wee, turut memuji potensi MissAlvy. “Dia bukan sahaja berbakat dalam lakonan tetapi juga memiliki suara komersial yang mampu menyerlah di pasaran. ‘Terpikat’ adalah permulaan yang baik untuk memperkenalkan MissAlvy sebagai penyanyi,” jelasnya.

Lagu “Terpikat” mengisahkan tentang perasaan jatuh hati secara diam-diam, satu tema yang dekat di hati MissAlvy dan ramai pendengar. “Saya pasti ramai yang pernah berdepan situasi ini—menyukai seseorang tanpa berani meluahkannya. Lagu ini menceritakan rasa teruja dan ketakutan itu dengan penuh keceriaan,” tambahnya.

Proses rakaman memakan masa hampir setahun bagi memastikan lagu ini benar-benar mencerminkan jiwa dan perasaan MissAlvy. “Mencari material yang sesuai bukan mudah, tetapi dengan sokongan pasukan produksi, hasil akhirnya benar-benar memuaskan,” katanya lagi.

Dengan komitmen tinggi dan keinginan untuk terus belajar, MissAlvy berharap “Terpikat” akan mendapat tempat di hati peminat. “Saya ingin mendekatkan diri dengan pendengar dan menjadi inspirasi buat mereka,” katanya.

Single “Terpikat” kini boleh didapati di platform digital seperti iTunes, Spotify, Deezer, Apple Music, dan YouTube Music, manakala video muziknya tersedia eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.