Kuala Lumpur, 6 September 2023 – Dari FELDA Bukit Rokan Utara, Negeri Sembilan ke kancah kejayaan kriket dunia. ‘Gemencheh Boys’ adalah satu adaptasi berdasarkan peristiwa sebenar yang memukau, mengisahkan kisah inspirasi sekumpulan anak kampung yang mengukir sejarah dalam arena sukan antarabangsa.
Dalam filem ini, kita menyaksikan cerita kehidupan seorang atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif, yang mewakili Malaysia dalam Piala Dunia Kriket 2019 serta memenangi pingat emas di Sukan SEA 2017.
Dengan tagline ‘no retreat, no surrender,’ ‘Gemencheh Boys’ mengisahkan kisah ‘Enam Jahanam,’ julukan yang melekat pada sekelompok kanak-kanak dari kampung tersebut. Meskipun mereka terkenal dengan kelakuan nakal, karakter mereka mengalami transformasi apabila seorang guru memperkenalkan permainan kriket kepada mereka. Filem ini penuh dengan tema persahabatan, pengorbanan, dan harapan, merentasi emosi yang pelbagai.
‘Gemencheh Boys’ akan tayang di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober. Pengarahnya adalah Jason Chong, yang telah memenangi Anugerah Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017, dan diterbitkan oleh Eric Ong, dengan kerjasama Astro Shaw, GV Corporate Advisory, dan SOL Pictures.
Filem ini membariskan pelakon hebat Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tunggak utama. Turut membintangi filem ini Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin, Arumugam A/L Vedan dan ramai lagi.
Menurut Penerbit Eksekutif Gemencheh Boys merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad, “Gemencheh Boys adalah sebuah cerita Malaysia yang harus dipersembahkan. Kami menyedari bahawa sukan kriket tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat Malaysia seperti mana sukan bola sepak atau badminton. Walau bagaimanapun, jalan cerita yang dipertaruhkan menerusi Gemencheh Boys mampu memberi inspirasi kepada semua penonton. Ia bukan sebuah kisah biasa dan bukan mengenai kriket semata-mata, tetapi tentang enam budak FELDA yang digelar ‘enam jahanam’, membuktikan orang biasa boleh menjadi luar biasa. Mereka juga telah mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas di peringkat antarabangsa. Kami mengharapkan Gemencheh Boys mampu meninggalkan impak tersendiri dan mendapat perhatian penonton berbilang bangsa.”
Sementara itu, Pengarah, Penulis Skrip, Cerita Asal Gemencheh Boys, Jason Chong berkata, “Selain memberikan nilai hiburan, saya percaya Gemencheh Boys mampu meninggalkan kesan mendalam kepada khalayak seperti mana filem terdahulu yang kami terbitkan iaitu Adiwiraku. Menerusi tema inspirasi yang sama, kami harap Gemencheh Boys akan kekal relevan untuk penonton Malaysia dan saya rasa amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada filem ini.”
Gemencheh Boys mendapat sokongan daripada Malaysia Cricket Association dan Kementerian Belia Dan Sukan. Antara sokongan seperti kolaborasi di acara julung kali diadakan di Malaysia, Internasional Cricket Counsil – ICC Men’s Cricket World Cup Trophy Tour.
Siri jelajah Gemencheh Boys bermula bulan Oktober ke sekolah-sekolah serata Malaysia yang dikendalikan oleh Malaysian Cricket Association dengan mengadakan bengkel kriket dalam usaha menggalakkan minat terhadap sukan kriket dalam kalangan pelajar. Selain itu, kami turut bekerjasama dengan kumpulan komuniti sosial dan budaya, Locco menerusi acara Kereta Api Sarong yang akan diadakan pada 16 September 2023 di sekitar Lembah Klang.
Manakala lagu rasmi filem ini adalah ‘Siapa Kami’ nyanyian penyanyi rap terkenal dari Negeri Sembilan, W.A.R.I.S bersama David Koon, Andrew Lui dan Ronald Mok.
Gunakan #Gemenchehboys bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Gemencheh Boys di platform TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.
Nantikan filem Gemencheh Boys, sebuah cerita Malaysia adaptasi dari kisah sebenar tentang enam budak FELDA yang digelar ‘enam jahanam’ berjaya mencipta sejarah dalam dunia sukan antarabangsa, yang akan berada di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober 2023 ini.