Ejen Ali kembali beraksi dan kali ini, misinya lebih besar daripada sebelumnya! Filem animasi tempatan yang dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), akhirnya ditayangkan secara rasmi menerusi tayangan perdana yang berlangsung penuh meriah di IOI City Mall, Putrajaya. Kemunculan semula ini bukan sahaja menandakan satu detik penting dalam industri animasi Malaysia, malah mengukuhkan kedudukan Ejen Ali sebagai francais animasi kebanggaan negara yang terus mencetus fenomena sejak diperkenalkan pada 2016.
EATM2 bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 22 Mei 2025, membawa aksi yang lebih mantap, emosi yang lebih mendalam dan visual 3D yang mengagumkan. Sekuel ini mengikuti perjalanan Ali, seorang budak lelaki yang secara tidak sengaja terlibat dalam dunia perisikan rahsia MATA dan kini terpilih untuk menjalankan misi berisiko tinggi di bawah program elit SATRIA. Dibantu oleh teknologi AI dan sut canggih, Ali kini berdepan cabaran yang bukan sahaja menguji keberaniannya, tetapi juga kesetiaannya. Dalam usahanya menumpaskan ancaman baharu, Ali perlu bekerjasama dengan Rizwan untuk menyiasat dalang sebenar di sebalik gangguan yang menggugat keselamatan Cyberaya. Kehadiran Neonimus, seorang penggodam misteri yang menyimpan dendam terhadap Ali, menambah lagi ketegangan misi tersebut apabila niat sebenar watak ini kekal menjadi misteri.

Kejayaan filem pertama yang mencatat kutipan lebih RM30 juta menjadikan Ejen Ali sebagai antara IP animasi tempatan paling berjaya, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di lebih 65 negara seluruh dunia. Sekuel ini tampil dengan pembinaan dunia yang lebih kompleks, watak baharu, gajet terkini dan penceritaan yang lebih matang sekali gus meningkatkan keterujaan peminat yang telah lama menunggu sambungan kisah ini. Malah, tayangan pratonton khas di sembilan lokasi GSC habis terjual dalam masa singkat, membuktikan sambutan hangat yang diterima oleh peminat setia.
Menambah keistimewaan filem ini adalah barisan lagu runut bunyi yang menyentuh jiwa dan memperkukuh jalan cerita. Lagu tema rasmi Hanya Kamu nyanyian Dato’ M. Nasir, Teman Sejati oleh kumpulan Indonesia Nidji dan Penjuara daripada Hael Husaini masing-masing menyuntik emosi mendalam dalam babak-babak penting filem. Tayangan perdana turut dimeriahkan dengan persembahan langsung lagu tema oleh Dato’ M. Nasir serta persembahan flash mob lagu ikonik Mamak Maju dari filem pertama, yang memberi kejutan nostalgik kepada para penonton.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Pn. Nini Yusof, francais Ejen Ali merupakan simbol kejayaan kandungan tempatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan menambat hati penonton pelbagai lapisan. Manakala En. Usamah Zaid Yasin, pengarah filem dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, menyatakan rasa syukur atas sokongan luar biasa peminat sejak filem ini diumumkan sebelum pandemik. Beliau berharap EATM2 dapat menyampaikan pengalaman sinematik yang emosional dan mengujakan seperti yang diimpikan oleh peminat.

Tayangan EATM2 turut disertai dengan pelbagai barangan eksklusif seperti figurine tumbler edisi khas, peranti IRIS interaktif serta koleksi bucket popcorn watak Ejen Ali yang boleh didapati di pawagam terpilih. Orang ramai digalakkan membuat tempahan awal tiket di lebih 70 pawagam seluruh negara, terutamanya menjelang musim cuti sekolah.
Ejen Ali The Movie 2 diterbitkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions. Gunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 di media sosial untuk mengikuti kandungan eksklusif dan momen di sebalik tabir. Ayuh sahut misi ini dan alami pengembaraan animasi tempatan paling epik tahun ini, hanya di pawagam bermula 22 Mei 2025!