Menyelami Tradisi Masyarakat Salako Melalui ‘Raya Emas – Salako Sacred Treasure’

Filem “Raya Emas – Salako Sacred Treasure” mencatatkan kejayaan besar dengan tayangan perdana yang memukau di Malaysia, menarik perhatian ramai dengan visual yang mengagumkan dan jalan cerita yang penuh keunikan. Lebih daripada sekadar sebuah filem fiksyen, “Raya Emas – Salako Sacred Treasure” turut memberi sorotan kepada potensi besar pelancongan Sarawak, memperkenalkan keindahan alam semula jadi serta tradisi masyarakat Salako kepada dunia.

Tayangan perdana yang diadakan pada 24 Mac lalu turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon utama seperti Winson Voon, Dunstun Luther Junior, Nina KSC, dan Marc Benjamin. Acara ini juga dihadiri oleh tetamu khas, En Noor Azam Shair, Timbalan Pengerusi FINAS, yang turut memberikan sokongan terhadap usaha mengangkat Sarawak sebagai destinasi filem dan pelancongan antarabangsa.

Menurut Penerbit Eksekutif, Winson Voon, filem ini tidak hanya sekadar hiburan tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan keindahan sinematik dan budaya masyarakat Salako. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak yang telah memberikan sokongan penuh terhadap projek ini, sekali gus membuka peluang bagi Sarawak untuk menjadi destinasi pelancongan dan penggambaran filem antarabangsa.

“Kerjasama ini bukan hanya memberi impak besar dalam sektor filem, tetapi turut memberi peluang kepada Sarawak untuk memperkenalkan tarikan uniknya kepada penonton global. Filem ini mempunyai potensi besar untuk menarik pelancong dari seluruh dunia ke Sarawak,” ujar Winson.

“Raya Emas – Salako Sacred Treasure” mengisahkan perjalanan Zul (lakonan Winson Voon), seorang bapa yang terdesak, Ansamah (lakonan Dunstun Luther), seorang anak angkat yang ingin membuktikan dirinya sebagai penjaga pelindung Salako, dan sekumpulan penjelajah muda yang diketuai oleh Diana (lakonan Ahirine Ahirudin), seorang gadis dengan kebolehan meramal yang luar biasa. Kisah ini menyelami mitos mengenai “Raya Emas,” sejenis bunga emas yang memiliki kuasa penyembuhan luar biasa.

Sebanyak 80% daripada penggambaran filem ini diambil di lokasi yang menakjubkan di Lundu, Sarawak, dengan latar belakang hutan hujan Borneo yang kaya dengan keindahan semulajadi. Winson menegaskan bahawa hampir 90% pelakon dalam filem ini adalah dari Sarawak, memberi peluang kepada bakat tempatan untuk tampil di pentas global.

Filem ini juga bertujuan untuk memperkenalkan Sarawak sebagai destinasi utama untuk pengeluaran filem antarabangsa. Menurut Winson, sokongan terhadap filem seperti ini akan memberi impak positif kepada pelancongan Sarawak dan membantu memperkukuhkan ekonomi negeri melalui industri filem. “Raya Emas – Salako Sacred Treasure” diharapkan dapat menarik perhatian pelancong antarabangsa untuk mengunjungi Sarawak, menjadikannya destinasi wajib dikunjungi.

“Walaupun kisah dalam filem ini adalah fiksyen, ia menggambarkan budaya dan tradisi masyarakat Salako yang autentik. Ini memberikan pandangan yang unik kepada dunia mengenai kekayaan warisan Sarawak yang masih terjaga,” tambah Winson.

Tayangan perdana “Raya Emas – Salako Sacred Treasure” telah membuka jalan bagi filem ini untuk dinikmati di pawagam seluruh negara mulai 3 April 2025. Saksikan keindahan warisan Sarawak melalui pengalaman sinematik yang luar biasa dan sokonglah industri pelancongan serta filem Sarawak.

“Raya Emas – Salako Sacred Treasure” adalah hasil kerjasama antara Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, Tinytune Production, Filmmaker Studio, Sky Picture, dan Filmforce Studio. Jangan lepaskan peluang untuk melihat Sarawak dari sudut pandang yang berbeza dan rasai keajaiban budaya serta alam semula jadi negeri ini!