Nama pasangan adik-beradik, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air. Terbaharu, mereka tampil dengan single terbaharu berjudul “Mengukir Takdir”, hasil ciptaan komposer prolifik Wan Saleh bersama Hazwani Helmi sendiri. Lagu ini turut menampilkan sentuhan susunan muzik dan terbitan penuh oleh Wan Saleh di bawah kerjasama Alternate Records & Talents.
Mengukir Takdir membawa mesej ketabahan, kekuatan dan kebergantungan kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian hidup. Inspirasi lagu ini lahir bukan sahaja daripada semangat perjuangan saudara di Gaza, tetapi juga sebagai peringatan bahawa setiap insan adalah pejuang dalam kisah hidup masing-masing.
Menurut Heliza dan Hazwani, pemilihan mereka untuk menyanyikan lagu ini merupakan satu penghargaan yang besar. “Kami bersyukur kerana dari awal perbincangan bersama pasukan Alternate, wujud keserasian yang akhirnya membawa kepada cadangan untuk bekerjasama dengan Wan Saleh. Beliau pernah bekerja dengan kami sebelum ini, jadi beliau lebih mengenali cara nyanyian kami. Dari situlah lahirnya Mengukir Takdir, sebuah karya yang cukup mencabar tetapi penuh makna,” jelas mereka.

Proses rakaman lagu ini turut memakan masa yang intensif. Rakaman demo dan rakaman akhir mengambil masa sekitar lima jam setiap satu. Cabaran utama adalah kerana Mengukir Takdir merupakan sebuah lagu yang “besar” berbanding karya mereka sebelum ini ia menuntut teknik vokal yang tinggi, pelbagai lapisan suara termasuk elemen koir dan Arab. “Alhamdulillah, dengan bimbingan guru vokal serta tunjuk ajar Wan Saleh, kami berjaya merealisasikan apa yang dirancang,” tambah mereka.
Kelainan utama lagu ini terletak pada gabungan genre dan jiwa yang kuat. Pertukaran vokal antara mereka berdua, ditambah elemen koir dan Arab, menjadikan Mengukir Takdir sebuah eksperimen muzik yang segar dan unik. Walaupun ilham asalnya tentang Gaza, lirik lagu ini sebenarnya boleh dihayati dalam pelbagai sudut. Ada yang mengaitkannya dengan perjuangan Rasulullah SAW, ada yang teringat keluarga, kisah hidup sendiri atau ujian wanita di luar sana. “Apa pun tafsirannya, kami berharap lagu ini menyentuh hati pendengar dengan izin Allah,” ujar mereka dengan penuh pengharapan.
Mengukir Takdir juga menandakan single pertama hasil kerjasama antara Heliza & Hazwani Helmi dengan Alternate Records & Talents. Mereka optimis akan lahir lebih banyak karya bersama pada masa akan datang. “Setiap kita adalah pejuang. Walau apa pun cabaran hidup, Allah telah menjanjikan bahawa setiap kesulitan hadir bersama kemudahan, seperti dalam Surah Al-Insyirah ayat 5-6. Lagu ini kami tujukan sebagai penguat semangat untuk semua,” kata mereka menutup bicara.
Jangan lepaskan peluang untuk mendengar Mengukir Takdir nyanyian Heliza Helmi & Hazwani Helmi yang kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti laman rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.