“Mengemis Kasih”: The Zikr & Yabang Satukan Legenda, Nazrey Johani Kembali Dengan Konsert Istimewa

Dunia nasyid tanah air bakal digegarkan semula dengan kemunculan legenda yang pernah menjadi ikon era 90-an. Kumpulan The Zikr tampil dengan single baharu berjudul “Mengemis Kasih”, hasil kolaborasi istimewa bersama Yabang, bekas vokalis kumpulan Khalifah. Lebih bermakna, karya ini turut menandakan kembalinya Nazrey Johani suara emas yang pernah mengangkat martabat nasyid ke persada dunia.

Lagu “Mengemis Kasih” bukan sekadar sebuah karya baharu, tetapi simbol kebangkitan nasyid klasik dalam wajah moden. Dicipta oleh Nazrey Johani bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi, lagu ini diberi nafas segar dengan susunan muzik baharu tanpa menghilangkan roh ketuhanan yang menjadi teras asalnya. Perpaduan vokal Nazrey yang penuh penghayatan, harmoni vokal The Zikr, serta warna suara Yabang menjadikan persembahan ini begitu mendalam dan sarat emosi.

Nazrey yang kini kembali aktif bersama rakan-rakan lamanya dalam The Zikr – termasuk Amran Ibrahim (bekas anggota Raihan), Syamsul Masri, Meor Ahmad Sahid, Afezan Ponijan, Amin Nordin, Hafiedz Samsuri, Syawal Paino, Suhaimy Raslan, dan Rosdi Zahari – menyifatkan peluang untuk kembali berkarya sebagai satu rezeki yang amat berharga. Menurutnya, “Lagu ini diberi sentuhan moden agar lebih segar dan relevan dengan generasi kini, namun masih mengekalkan nilai spiritual yang menjadi jiwa utama nasyid.”

Syamsul Masri turut berkongsi bahawa karya The Zikr masih kekal relevan dan diminati sehingga kini, terutamanya di Indonesia dan Thailand. Selepas pertemuannya semula dengan Nazrey pada 2023, mereka kembali bergabung dan menghasilkan beberapa single termasuk “Antara 2 Cinta” (2024) dan “Dunia Baru Islam” (2024), sebelum melancarkan “Mengemis Kasih” pada 26 September 2025 melalui saluran YouTube Rusa Islamic, hasil kerjasama dengan Smart Audio Music.

Kembalinya Nazrey Johani ke industri selepas melalui cabaran kesihatan membuktikan semangatnya yang luar biasa. Dari zaman Nada Murni hingga Raihan, beliau kekal sebagai rujukan utama dalam dunia nasyid dan terus menjadi ikon yang tidak dapat diganti. Video muzik “Mengemis Kasih” turut menampilkan Ustaz Amran, anggota asal The Zikr, yang membawa nostalgia kepada zaman awal kemunculan kumpulan legenda ini. Lebih istimewa, single ini bakal disusuli dengan Konsert Eksklusif The Zikr & Nazrey Johani pada Januari 2026, yang dijangka menggamit kenangan dan menjadi persembahan bersejarah buat peminat nasyid tanah air.