Setelah menggemparkan peminat dengan dua siri konsert sebelum ini, Melly Goeslaw kembali menyempurnakan perjalanan muziknya dengan persembahan istimewa Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite.
Konsert yang berlangsung pada 31 Mei 2025 di Axiata Arena bermula pukul 8.30 malam ini bukan sekadar pesta biasa. Ia adalah acara wajib bagi setiap pelajar yang telah hadir ke siri Ada Apa Dengan Melly…? Back To School dan Ada Apa Dengan Melly & Friends (Malam Graduasi).
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menjelaskan bahawa Prom Nite ini adalah satu komitmen dan penutup yang penuh bermakna buat Melly. “Ini bukan lagi tentang Melly semata-mata, tapi beliau sangat bersyukur apabila karya-karyanya menjadi sebahagian daripada hidup peminat, terutama di Malaysia. Bagi mereka yang telah menyertai dua siri sebelumnya, Prom Nite adalah malam pesta yang paling tuntas dan wajib dihadiri.”

Melly pula berkongsi bahawa tiada janji manis yang ingin diberikan selain ajakan untuk semua peminat tidak melepaskan peluang menikmati malam penuh kenangan ini. “Ia akan menjadi momen paling tidak terlupakan untuk kita semua,” katanya penuh semangat.
Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite bukan sekadar penamat, tetapi permulaan baru yang membawa peminat kembali ke detik-detik indah bersama Melly Goeslaw dan karya-karyanya yang abadi. – Tehtariktimes