Industri muzik hip hop tempatan dimeriahkan dengan pelancaran single terbaru berjudul “Kemana Ni”, yang mempersembahkan kolaborasi antara tiga nama besar dalam industri muzik Malaysia – LUCA SICKTA, KMY KMO, dan SALAMMUSIK. Di bawah edaran rasmi Sony Music Malaysia, lagu ini tidak hanya menggabungkan elemen hip hop dan reggae yang segar, tetapi turut membawa mesej mendalam tentang mencari arah hidup di tengah kesibukan dunia moden.
Lagu “Kemana Ni” bukan sekadar sebuah kolaborasi biasa, tetapi lahir daripada sebuah perjalanan yang bermula pada tahun 2018. KMY KMO yang menjadi pencetus idea asal lagu ini merasakan keperluan untuk berkarya tentang pencarian makna hidup. LUCA SICKTA juga menambah bahawa projek ini telah lama direncanakan dan akhirnya berjaya disempurnakan setelah melalui beberapa fasa penciptaan. “Salammusik adalah artis pertama yang kami dekati untuk projek ini dan dia menyambut baik idea ini sejak 2018,” kata LUCA SICKTA.
Walaupun dengan irama yang santai dan penuh semangat, lagu “Kemana Ni” membawa persoalan yang mendalam – ke mana hala tuju kita dalam kehidupan? KMY KMO berkongsi bahawa lagu ini menggambarkan perasaan seseorang yang sedang melangkah keluar dari zon selesa untuk mencari arah hidup. “Hidup sebenar bermula apabila kita keluar dari zona selesa dan mula diuji untuk mencari jalan sendiri,” kata KMY. SALAMMUSIK pula menekankan bahawa kegagalan adalah sebahagian daripada proses menuju kejayaan, dan keberanian untuk bangkit semula adalah kunci untuk terus maju.
Dari segi muzik, “Kemana Ni” menawarkan gabungan dua genre yang kuat—hip hop dan reggae—dengan elemen yang sangat serasi. LUCA SICKTA sebagai produser memastikan setiap bahagian dalam lagu ini disusun dengan penuh teliti, memberikan satu pengalaman pendengaran yang segar. “Bekerja dengan KMY dan kehadiran SALAMMUSIK memberi satu momentum yang sangat serasi. Gaya reggae yang dibawakan oleh Salammusik memberi warna tersendiri kepada lagu ini,” kata LUCA.
KMY KMO pula berkongsi, “Salammusik adalah ikon dalam reggae dan dancehall yang saya sangat kagumi. Bekerja bersamanya adalah impian yang akhirnya tercapai.”
Kemana Ni diharapkan dapat memberi inspirasi kepada mereka yang mencari arah hidup dan juga menjadi pembakar semangat. KMY KMO berharap lagu ini memberi motivasi terutama di pagi hari sebelum memulakan aktiviti. “Kami ingin lagu ini memberikan dorongan kepada mereka yang memerlukan semangat untuk memulakan hari dengan penuh tenaga,” jelas KMY. SALAMMUSIK menambah, “Mudah-mudahan lagu ini dapat menjadi teman yang memberi kekuatan kepada siapa saja yang sedang mencari motivasi untuk terus maju ke depan.”
Single “Kemana Ni” kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Joox, Apple Music, dan YouTube Music. Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi syarikat telekomunikasi tempatan.